Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Hikayat Panglima Nikosa (HPN) nukilan Ahmad Shawal yang diterbitkan pada tahun 1876 merupakan karya sastera Melayu abad ke-19 yang memaparkan kesetiaan, kebijaksanaan, moral dan agama yang menunjukkan ketokohan panglima Nikosa yang berani, adil dan bertanggungjawab.
Demikian inti pati hasil perbincangan oleh barisan panel, iaitu YBhg. Datu Dr. Haji Sanib Haji Said dan YBrs. Dr. Haji Shantrol Abdullah dalam Persidangan Kebangsaan Hikayat Panglima Nikosa yang berlangsung di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, semalam.
YBhg. Datu Dr. Haji Sanib Haji Said dengan tajuk kertas pembentangannya, iaitu “Satu Kritik Novel Melayu Pertama: Analisis Forster terhadap Hikayat Panglima Nikosa” menumpukan pengkajian keperibadian dan perwatakan Nikosa secara mendalam. Menurutnya melalui karya tersebut,
“Nikosa telah diperintahkan oleh ayahnya untuk mengumpulkan 300 penduduk kampung untuk menyerang balas musuh (pihak luar) yang telah berperang hampir 10 tahun dan akhirnya telah mencapai kemenangan bagi pihaknya.
“Pada masa yang sama, Nikosa juga mendapat ilham untuk mendirikan sebuah negeri bernama “Jalanan Baharu” bagi melaksanakan pembangunan di sekitar kawasan kampungnya”.
Beliau juga turut menekankan penghayatan mendalam terhadap watak Nikosa yang bukan sahaja membolehkan pembaca memahami dimensi psikologi dan etika kepahlawanan, malah memperlihatkan sifat mulia seperti amanah, kesetiaan dan keberanian yang menjadi teras perwatakan pemimpin Melayu.
Tambah beliau lagi, HPN turut memaparkan keperitan dan kesusahan yang dialami oleh negeri sebelah Timur yang sering diserang musuh luar mengakibatkan kemunduran dan kejatuhan ekonomi.

Sementara itu, YBrs. Dr. Haji Shantrol Abdullah dengan pembentangan kertas kerja bertajuk “Hikayat Panglima Nikosa: Peneguhan Akhlak dan Kepatuhan terhadap Tatanan Ilahi” meneliti HPN sebagai teks yang meneguhkan akhlak dan kepatuhan terhadap tatanan Ilahi melalui empat fokus utama, iaitu nilai keagamaan, pembentukan watak, dimensi kesabaran dan pendidikan moral.
“HPN menonjolkan hubungan antara manusia dengan Tuhan, prinsip usaha dan rezeki, ciri kepimpinan Panglima Nikosa dan pembinaan masyarakat. HPN merupakan sebuah teks yang mengangkat pemikiran sosial yang merentasi zamannya serta merupakan karya yang berlandaskan kepada kerangka pemikiran Islam”.
Jelas beliau lagi, menerusi HPN, asas akidah hadir melalui kefahaman Nikosa tentang rezeki, usaha dan tanggungjawab sebagai anugerah Tuhan.

Turut hadir dalam sesi forum tersebut ialah Sasterawan Negeri Sarawak, YBrs. Dr. Abang Patdeli Abang Muhi, Penerima Anugerah S.E.A Write Award, Encik Osman Ayob, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai dan Timbalan Naib Canselor, Penyelidikan dan Inovasi (UNIMAS), YBrs. Profesor. Ir. Dr. Siti Noor Linda Haji.