Oleh Nasrul BK
Diterbitkan pada 19 November 2025, 11:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan – Seminar Pemikiran Sasterawan Negeri Pahang (SPeSneP) 2025 telah diadakan di Auditorium Kejururawatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Kuantan pada 8 November lalu. Seminar tersebut merupakan platform ilmiah anjuran Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) yang menghimpunkan para sarjana, penulis, penggiat sastera serta mahasiswa dalam menelusuri pemikiran dan peradaban sastera tanah air.

Penganjuran seminar ini bertujuan untuk memperkukuhkan kefahaman terhadap pemikiran, estetika, serta pandangan dunia pengarang yang telah mencorakkan wajah kesusasteraan Pahang.

Fokus seminar pada kali ini tertumpu kepada dua tokoh sasterawan negeri Pahang, iaitu Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mohd Mansor Abdullah (Sasterawan Negeri Pahang pertama) dan Rahman Yusof (Sasterawan Negeri Pahang Kedua). Dua nama besar yang mewakili dua jalur penting dalam tradisi kesusasteraan Pahang yang bersifat akademik, falsafah dan berpaksikan kepada realiti sosial dan budaya tempatan.

Sebahagian daripada peserta Seminar Pemikiran Sasterawan Negeri Pahang 2025.

Melalui seminar ini, pelbagai dimensi pemikiran sasterawan Pahang dikupas termasuklah aspek estetika, nilai kemanusiaan, falsafah kepengarangan dan tanggungjawab sosial.

Bertemakan “Menggapai Pandangan Dunia Kepengarangan Kreatif”, seminar ini membuka ruang wacana yang lebih luas tentang pemikiran dan idealisme kedua-dua tokoh selain menilai sumbangan mereka terhadap pembangunan wacana sastera kebangsaan.

Melalui pembentangan kertas kerja, forum dan sesi diskusi ilmiah, maka para peserta berpeluang menelusuri akar pemikiran yang menjadi asas kepada ketokohan mereka, serta memahami tentang karya dan gagasan tersebut dalam membentuk identiti sastera Pahang.

Para peserta seminar merakamkan gambar kenang-kenangan bersama-sama dengan para pembentang dan tetamu kenamaan.

Sementara itu, YBrs. Wan Emril Nizam mewakili Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy berkata sewaktu ucapan perasmian,

Pahang sebagai negeri yang kaya dengan adat dan budaya sentiasa menyanjung tinggi peranan sasterawan, iaitu mereka yang menulis bukan sekadar dengan pena, tetapi dengan nur fikiran dan suara hati bangsa. Usaha menghimpunkan wacana pemikiran sasterawan negeri ini amatlah signifikan dalam memperkukuhkan warisan penulisan tempatan di samping memperkenalkan kekayaan idea dan keindahan bahasa yang lahir dari bumi Pahang.

Turut hadir dalam seminar tersebut ialah Profesor Dr. Abdul Halim Ali, Presiden Persatuan Penulis Budiman Malaysia, Encik Mohd Khairulzain Abd. Rahman, Pengarah Pentadbiran UIAM Kampus Kuantan, Dato’ Dr. Ahmad Munawar, Timbalan Presiden DPMP dan Puan Alifah Che Mat, Pengarah Seminar Pemikiran Sasterawan Pahang 2025.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi