Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Buku Antologi Sajak Merdeka 68 dilancarkan bersempena dengan Pesta Buku Pahang 2025, anjuran Kelab Kebajikan dan Rekreasi (KeKRek) Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuantan dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang (PPAP).
Pelancaran buku tersebut disempurnakan oleh YBrs. Tuan Haji Ahmad Zamr, Pengarah Pendidikan Negeri Pahang, yang turut mendeklamasikan sajak bertajuk ”Semarak Merdeka” karya Saruchi Sawal, satu daripada seorang penulis antologi.
Antologi Sajak Merdeka 68 menghimpunkan 68 sajak hasil nukilan 68 pengkarya yang terdiri daripada pelbagai latar pendidikan dan pengalaman termasuklah pesara perkhidmatan pendidikan, pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, warga PPD Kuantan, pengetua, guru besar serta guru yang masih aktif berkhidmat.
Karya dalam antologi ini lahir daripada Bengkel Penulisan Sajak Merdeka 68 yang dikendalikan oleh Encik Mohamad Asri Mat Husin, Tokoh Bahasa Melayu Sektor Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia. Beliau yang juga merupakan penyelenggara dan bertindak selaku editor antologi berkenaan menyifatkan pengalaman menukangi naskhah ini sebagai sesuatu yang luar biasa.
Menukangi karya dalam antologi ini memberikan aroma yang berbeza kerana rata-rata pengkarya merupakan warga pendidik yang baharu berjinak-jinak dengan dunia penulisan. Hanya sekali bengkel penulisan diadakan, namun hasilnya tampak cukup luar biasa.
Ilustrasi muka hadapan buku ini pula dihasilkan oleh Cikgu Rusmiza Hassan dari SMK Sultan Abu Bakar, dengan rekaan berkonsepkan hitam dan putih simbol identiti negeri Pahang yang melambangkan keseimbangan antara gelap dengan terang, duka dengan bahagia dan perjuangan dengan kemerdekaan.
Dalam ucapan pelancaran, Tuan Haji Ahmad Zamri menzahirkan rasa bangga terhadap semangat warga pendidik yang menjadikan bahasa dan sastera sebagai wahana cinta bangsa.
Jutaan tahniah kepada Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang atas penganjuran Pesta Buku Pahang yang terus membawa semangat membaca kepada generasi muda. Tahniah juga kepada Kelab Kebajikan dan Rekreasi PPD Kuantan atas kejayaan menerbitkan Antologi Sajak Merdeka 68 — satu arus kesedaran besar dalam masyarakat untuk membawa semula buku kepada anak-anak. Saya berharap program ilmiah seperti ini akan terus mendapat sambutan luas.

Beliau turut berseloroh menegur fenomena saiz tulisan buku yang semakin kecil, yang menurutnya menyukarkan pembaca berusia, namun tetap memuji kreativiti penulis dan ilustrator yang mampu menarik minat golongan muda.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Kuantan, Haji Shaiful-Azizi Sukri, dalam ucapannya menegaskan bahawa penerbitan antologi ini menjadi bukti bahawa warga pendidik bukan sahaja menjadi penggerak pendidikan, malah merupakan penjaga bahasa bangsa. Katanya,
Besarlah harapan saya agar Antologi Sajak Merdeka 68 menjadi inspirasi kepada warga pendidik, murid dan masyarakat untuk terus mengekspresikan kecintaan terhadap negara melalui karya seni bahasa yang bermutu. Inilah langkah membina bangsa pembaca dalam kalangan warga sekolah dan masyarakat di daerah Kuantan serta seluruh Malaysia.
Pelancaran antologi ini turut menandakan momentum baharu dalam ekosistem penulisan di daerah Kuantan, apabila beberapa sekolah bawah seliaan PPD turut aktif menerbitkan karya kreatif. Misalnya, SK Sungai Isap telah menerbitkan dua naskhah bertajuk Tinta Berlian 1.0 dan 2.0, manakala SK Galing menerbitkan Lukisan Hati, serta SK Bunut Rendang yang menerbitkan buku hasil kerjasama dengan Syarikat Buku Fargoes.
Pada 29 dan 25 Oktober lalu, di pentas Pesta Buku Pahang yang sama, Mohamad Asri dan Cikgu Laili Azimah dari SK Sungai Ular turut diundang sebagai pembicara dalam forum Antologi Puisi ASEAN, sebaris dengan penulis dari Indonesia dan merupakan suatu pengiktirafan berharga buat penulis Pahang.
Majlis berakhir dengan deklamasi puisi oleh beberapa penulis antologi yang menghidupkan suasana penuh emosi dan kebanggaan. Nyalaan semangat merdeka dalam setiap bait puisi menjadikan pelancaran ini bukan sekadar acara buku, tetapi satu perhimpunan jiwa yang menyatukan pendidik, penulis dan pembaca di bawah panji cinta kepada tanah air.
Turut hadir memeriahkan acara ialah YBrs. Puan Nor Zahira, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang.