Diterbitkan pada 10 November 2025, 10:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pulau Pinang — Pengarang muda, Muhammad Afif Zulhusni Azhar, 27, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Penulis Harapan bersempena dengan Anugerah Sastera Negeri Pulau Pinang (ASNPP) ke-2 2025, sebagai pengiktirafan terhadap ketekunannya dalam mengembangkan pemikiran dan kepekaan sastera dalam kalangan generasi muda.

Afif yang turut memenangi Kategori B: Karya Eceran Esei/Kritikan Sastera melalui esei “Teori Monomyth di Sebalik Mitos Awang Sulung Si Jambul Lebat”, menyifatkan penganugerahan tersebut sebagai amanah besar untuk terus menyumbang kepada wacana kesusasteraan tanah air.

Menurutnya, menjadi penulis muda pada hari ini bukanlah suatu perjalanan yang mudah, lebih-lebih lagi dalam suasana kehidupan moden yang dipenuhi digital dan teknologi. Jelasnya ketika diwawancara oleh Jendela Tunas Cipta,

Dunia sekarang penuh dengan peranti canggih sehingga ramai terlupa untuk membaca dan menulis. Saya harapkan anak muda pada hari ini mulakanlah dengan membaca karya-karya yang berkualiti. Bacaan seperti itulah yang membentuk jiwa dan pemikiran.

Mengulas proses penciptaan karya, Afif menegaskan bahawa penulisan merupakan perjalanan panjang yang lahir daripada pengalaman dan pertembungan cerita kehidupan setiap insan.

“Setiap manusia akan menempuh pelbagai liku kisah yang berbeza. Namun begitu, karya sahajalah yang dapat menemukan kita di destinasi yang sama,” ujarnya.

Afif turut menzahirkan kesyukuran atas kejayaan tersebut.

“Pertama sekali, saya bersyukur kepada Allah SWT atas ilham dan kekuatan untuk berkarya. Sehebat mana pun kita dalam dunia penulisan, jika Tuhan tidak mengizinkan ilham itu hadir, perjalanan menulis akan terhenti,” katanya.

Anugerah Penulis Harapan merupakan pengiktirafan kepada bakat muda yang menunjukkan potensi besar dalam memperkayakan landskap kesusasteraan negeri serta menggerakkan kesinambungan tradisi penulisan kreatif.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi