Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangCheras – Kira-kira 50 peserta wanita daripada pelbagai latar belakang telah menyertai bengkel penulisan Kursus Pena dan Pengaruh: Wanita Berbicara, Dunia Mendengar yang diadakan pada 1 November lepas. Bengkel penulisan di bawah Jaringan Penulis Tuntas itu kini memasuki kohort keempat, selepas penganjurannya di Cyberjaya dan Sabah sebelum ini.
Bertempat di Komune Living and Wellness, Cheras, kursus ini dikendalikan oleh Liyana Marzuki, penulis berpengaruh yang terpilih sebagai satu daripada tokoh wanita menerusi Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS), iaitu program di bawah tajaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW).
Kursus yang menghimpunkan para pemimpin persatuan dan komuniti itu bertujuan melahirkan wanita yang mampu menyampaikan idea dengan yakin selain meningkatkan kemahiran menulis.
Jelas beliau, penulis perlu berusaha untuk beranjak daripada sekadar menulis semata-mata kepada menjadi seorang pemikir. Hal ini demikian kerana seseorang penulis lazimnya berkongsi sesuatu menerusi penulisannya untuk keterlibatan dengan masyarakat.

Sebaliknya, seorang pemikir lebih menitikberatkan kefahaman yang berjaya disebarkan menerusi penulisannya. Terangnya lagi,
Walaupun hantaran Facebook anda hanya mendapat satu like sahaja, tidak mengapa. Setidak-tidaknya anda berjaya mengubah atau menjentik pemikiran pembaca tersebut.
Sesi penutup turut diserikan dengan audio siar mini Jangan Pajak Otak bersama-sama YB Anfaal Saari, Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, yang turut menyempurnakan sesi penyerahan sijil penyertaan kepada para peserta.