Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangLumut — Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (PULARA) 2025 yang berlangsung di Lumut bukan sekadar pesta seni tetapi menjadi wadah pendidikan budaya kepada generasi muda untuk memahami akar warisan bangsa.
Acara anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu menarik penyertaan lebih 20 000 peserta termasuklah pelajar universiti, warga pendidik, penggiat seni serta pelajar antarabangsa dari 19 negara. Kebanyakan peserta berpakaian tradisional dalam suasana meriah dan harmoni. Tambahan lagi, UPSI berjaya mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBOR), yakni penyertaan terbesar pakaian tradisional di PULARA 2025.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir selaku pengasas festival berkenaan. Menurut Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff, “sokongan Datuk Seri Dr. Zambry dalam penganjuran PULARA menunjukkan bahawa seni dan budaya tidak dipisahkan daripada pembangunan ilmu di institusi pengajian tinggi.”
Pelibatan aktif pelajar dalam festival seperti PULARA juga menjadi bukti seni dan budaya masih relevan sebagai wahana pendidikan nilai serta pembentukan jati diri bangsa.
Selain perhimpunan pakaian tradisional yang mencipta rekod MBOR, PULARA 2025 turut menampilkan lebih 100 persembahan seni budaya, 50 gerai pameran dan pelbagai aktiviti interaktif yang mempertemukan generasi muda dengan seniman dan budayawan tempatan.

Bagi pelajar antarabangsa yang menyertai program itu, PULARA membuka ruang bagi mereka untuk memahami keindahan budaya Malaysia melalui seni, muzik dan pakaian tradisional — sekali gus menjadikan Lumut sebagai pentas pertembungan budaya global yang harmoni.
PULARA yang memasuki edisi ke-11 tahun ini terus menjadi wadah penting memupuk minat generasi baharu terhadap seni tradisional serta memperkukuh usaha UPSI untuk melestarikan warisan bangsa.