Diterbitkan pada 4 November 2025, 09:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Cyberjaya– Inisiatif literasi nasional menerusi Baucar Buku Guru MADANI 2025 merakamkan sejarah tersendiri apabila mencatat 100 peratus penebusan oleh 428,027 guru di seluruh Malaysia menjelang 31 Oktober 2025.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku (PKB), Adibah Omar berkata bahawa kejayaan ini menjadi bukti sambutan luar biasa warga pendidik terhadap usaha memperkukuhkan budaya membaca dan pembelajaran berterusan dalam kalangan guru.

Program ini merupakan inisiatif di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan PKB sebagai agensi pelaksana melalui portal Book Capital. Hal itu diumumkan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 lalu.

Menerusi inisiatif ini, setiap guru menerima e-baucar berjumlah RM100 untuk pembelian bahan bacaan profesional, akademik dan umum. Berdasarkan laporan PKB, semua 428,027 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) telah menebus baucar masing-masing sepenuhnya. Malah, peratusan pembelian meningkat kepada 99.74%, berbanding dengan 89% pada tahun sebelumnya yang disasarkan kepada lebih 3.5 juta pelajar KPM.

Secara keseluruhan, sebanyak 1 546 562 naskhah buku melibatkan 238,186 judul berjaya diedarkan di seluruh negara, dengan penyertaan 670 penerbit dan penjual tempatan. Antara buku paling laris termasuklah AI GURU Siri 2: Rahsia PdP Lebih Hebat dan Meyakinkan karya Ihsan Ismail dan Abd Rahman Ali Bashah, terbitan Blink Book.

Mengulas lanjut, Adibah Omar berkata,

Kejayaan 100 peratus ini bukan sekadar angka, tetapi menjadi bukti semangat warga pendidik untuk terus menimba ilmu dan memperkukuhkan budaya membaca. Hal ini turut mencerminkan kecekapan sistem digital PKB dan sokongan padu KPM serta rakan industri tempatan.

PKB turut merakamkan penghargaan kepada KPM, Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan semua rakan strategik atas dedikasi memastikan kelancaran pelaksanaan program tersebut.

Inisiatif Baucar Buku Guru MADANI ini sekali gus memperlihatkan komitmen kerajaan dan warga pendidik dalam menjadikan budaya membaca sebagai teras pembangunan insan serta asas pembentukan masyarakat ilmu di Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi