Diterbitkan pada 16 Oktober 2025, 17:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuching — Penyampaian Hadiah Sastera Tunas Sarawak (HSTS) telah diadakan dalam Majlis Anugerah Tinta Kenyalang dan Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2025 Peringkat Sarawak, di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, pagi tadi.

Majlis yang dirasmikan oleh Puan Sharifah Fariah Syed Junaidi, mewakili Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak itu dihadiri oleh seramai 200 orang hadirin yang terdiri daripada para penulis, penggiat seni, ketua-ketua jabatan dan wakil agensi tempatan.

Puan Sharifah Fariah Syed Junaidi, mewakili Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak ketika berucap.

Sebanyak enam orang penulis ruangan Wadah Bahasa dan Sastera (WBS) telah menerima pengiktirafan dalam genre cerpen dan puisi yang dinilai. Senarai penuh penerima HSTS adalah seperti berikut:

Kategori Sajak

  •  Telaga Kita, Jernihkah Airnya? – Awang Johari Julaihi
  •   Terima Kasih Gerimis Pagi – Stainly Anak Albert Aggu
  • Tuhan Aku Ingin Masuk – Stefanie Anak Kaso

Kategori Cerpen

  • Kampung Sungai Tengah – Stephanie Juanita Anak Ahlee
  • Pengundi Kecil Masa Depan – Mohd Fadzly Haji Miswan
  • Seragam Syawal – Awang Akhwanuddin Alfizan Awang Samsul

Kejayaan para penulis ruangan WBS ini menandakan bahawa kegiatan penulisan di Sarawak bukan hanya diteruskan, tetapi juga diperbaharui dengan semangat, gaya dan wacana baharu yang lebih segar yang akhirnya membawa kepada pengiktirafan di atas pentas.

Ruangan yang diwujudkan oleh DBP Cawangan Sarawak sejak tahun 1996 ini ternyata membuahkan hasil dalam menumbuhkan keyakinan dan disiplin menulis, memupuk kesetiaan terhadap bahasa, serta membuka jalan kepada kematangan kreatif dalam kalangan penulis baharu.

Selepas hampir tiga dekad, WBS merupakan antara pendekatan paling signifikan dalam membina ekosistem sastera tempatan yang berdaya tahan, melalui wadah bimbingan berterusan yang membuka ruang kepada penulis pemula untuk menyalurkan karya, bereksperimen dengan bahasa dan mendewasakan suara penulisan mereka.

Dalam majlis sama turut disampaikan hadiah pemenang Anugerah Citra Majalah Sekolah Menengah Sarawak 2025, Sayembara Penulisan Esei Kritikan Karya Penulis Sarawak Peringkat Kebangsaan 2025 dan Hadiah Sastera Sarawak.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Encik Abang Haliman Haji Abang Julai, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera (mewakili Ketua Pengarah DBP), Dato Dr. Jeniri Amir, Ahli Lembaga Pengelola DBP, Dr. Azizul Haji Ismail, Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Dr. Robert Menua, Pengarah Bahagian Pensejarahan, Yayasan Tun Jugah dan Dr. Noratikah Mohamad Ashaari, Timbalan Dekan Hubungan Industri dan Masyarakat, UNIMAS.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi