Diterbitkan pada 8 Oktober 2025, 13:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Novel Kesidang karya Abdullah Fathini Ghazali menampilkan karya yang bukan sahaja menghiburkan, malah mampu mendidik generasi baharu betapa pentingnya nilai tadbir urus negara yang cekap dan berintegriti, di samping menonjolkan nilai kepimpinan, amanah dan tanggungjawab yang perlu dijiwai oleh pemimpin dan rakyat.

Novel ini berlatarbelakangkan era Kesultanan Johor-Riau selepas kejatuhan Melaka, mengangkat kisah perebutan takhta antara pewaris diraja dan golongan bangsawan berkuasa antara Sultan Abdul Jalil dengan Raja Kecil.

Menurut Abdullah Fathini Ghazali, Raja Kecil menggunakan dakwaan bahawa beliau merupakan anak kandung kedua kepada Sultan Mahmud Shah dan akhirnya beliau berjaya merampas takhta daripada Sultan Abdul Jalil.

“Pertelingkahan dalaman dan konflik politik semakin parah apabila Raja Kecil memperisteri anak perempuan Sultan Abdul Jalil mencetuskan kemarahan dan perpecahan dalam kalangan pembesar istana. Dalam keadaan negara yang kucar-kacir, anakanda Sultan Abdul Jalil ,Raja Sulaiman dan Tengku Tengah bangkit menentang kezaliman dan memperjuangkan hak ayahanda mereka,” jelas beliau.

Walaubagaimanapun, pertelingkahan antara kedua-dua pihak akhirnya berjaya didamaikan atas titah Sultan Abdul Jalil, yang kemudiannya bersetuju mengahwinkan puterinya, Tengku Kamariah dengan Raja Kecil.

“Tengku Tengah tampil dengan keberanian luar biasa apabila berjaya menyelamatkan adiknya, Tengku Kamariah daripada terus dijadikan alat dalam percaturan politik istana oleh Raja Kecil,” tambah beliau lagi.

Dalam penceritaan ini, beliau memperlihatkan bahawa Tengku Tengah sebagai simbol kekuatan wanita yang berperanan penting dalam mendepani krisis istana, sekali gus melambangkan keberanian dan kebijaksanaan wanita Melayu dalam mempertahankan kehormatan bangsa ketika negara dalam keadaan kucar-kacir.

“Tengku Tengah merupakan satu daripada watak wanita penting dalam Kesidang yang digarap sebagai lambang keberanian, kebijaksanaan, dan kekuatan wanita Melayu dalam menghadapi pergolakan istana Johor-Riau,” ujarnya.

Dalam sesi bicara karyawan tersebut, beliau juga turut berkongsi tentang keterlibatannya dalam dunia penulisan yang bermula sejak di bangku sekolah rendah, sekali gus menunjukkan minat dan bakat awalnya dalam bidang sastera.

“Saya mula menulis sejak di bangku sekolah rendah hasil dorongan ibu dan ayah yang sentiasa menjadi suri teladan serta pendorong utama dalam menyemai minat saya terhadap dunia penulisan sastera,” ujar beliau.

Novel Kesidang pernah memenangi Hadiah Sagu hati dalam Sayembara Menulis Novel Sejarah untuk Remaja DBP-PSM edisi 2022/2023.

Para pengunjung boleh mendapatkan novel Kesidang di Anjung DBP atau layari portal JendelaDBP secara dalam talian.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi