Diterbitkan pada 1 Oktober 2025, 13:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Johor Bahru – Bersempena dengan Penilaian Lakonan Subjek Kesenian Teater Sijil Pelajaran Malaysia 2025, 15 orang pelajar tingkatan lima Sekolah Seni Malaysia Johor (SSeMJ) akan mementaskan Bangsawan Awang Kudis Buta (BAKB), karya Milyana Arsyad pada 6 Oktober bermula pada pukul 8 malam, di SMJ.
Di bawah bimbingan Siti Badariah Zaiton dan Siti Fardoas Izati Ahmad, para pelajar SMJ tersebut beraksi bagi penilaian Lakonan Pentaksiran Kesenian SPM 2025.
Antara matlamat pementasan BAKB ini termasuklah menilai keupayaan pelajar tingkatan lima dalam aspek lakonan, produksi dan sinografi untuk pentaksiran seni persembahan.
Selain itu, persembahan ini juga berkemampuan dalam mengasah bakat, kreativiti dan keyakinan pelajar melalui teater, serta mendedahkan pelajar kepada pengalaman sebenar persembahan pentas dan meningkatkan minat terhadap seni budaya.
Bertemakan pengembaraan, teater bangsawan BAKB itu bakal menampilkan bakat lakonan Adriana Insyirah, Iskander Nazri, Hana Humairah, Che Wan Hashemite,Nabilah Hazirah, Atiqah Aziz, Amirah Rajihah, Hadif Hilman, Umairah, Afiq Naufal, Raimi Mikhail, Puteri Arianna, Haqemi, Yvaine Chew dan Daani.
BAKB mengisahkan Awang, pemuda yang diejek kerana penyakit kudis buta yang melalui pelbagai cabaran ghaib dalam perjalanan ke Gunung Melapo. Ramuan ajaib mengubah hidup Awang dan membawanya bertemu dengan Puteri Cempaka Sari yang disumpah. Maka, tercetuslah pertarungan antara cinta, sumpahan dengan maruah.
Dengan harga tiket yang amat berpatutan, tontonlah kesudahan kisah Awang dan Puteri Cempaka Sari ini. Individu yang berminat untuk menonton persembahan ini boleh menghubungi Cikgu Izati menerusi talian 019-4600560 untuk urusan pembelian tiket.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi