Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSungai Petani – Pentas utama Pesta Buku Kedah yang berlangsung di Village Mall meriah dan hangat apabila membicarakan proses kreatif dan bicara buku karya penulis Utara. Program ini menghimpunkan tiga penulis prolifik utara tanah air, iaitu Zalina Ahmad, Zulaiha Karim dan Noor Suraya Adnan. Sesi yang dikendalikan oleh penulis dan penyelidik, Dr. Husairi Hussin memperlihatkan wacana segar mengenai proses penciptaan karya remaja yang diminati.
Dua buah novel remaja terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), iaitu Sigan karya Zulaihah Karim yang berasal dari Sik dan Che Piah Sayang karya Ilya Alias dari Pendang, menjadi nadi utama perbincangan.

Panel pertama, Noor Suraya Adnan, melihat novel Sigan sebagai eksplorasi fantasi remaja yang bertaut dengan falsafah masa dan ramalan kehidupan pada masa akan datang (abad ke-51). Beliau menekankan bahawa keistimewaan karya ini terletak pada keberanian penulis dalam menggabungkan unsur sejarah dan mitos zaman Kesultanan Melayu Melaka dengan cereka sains.
Sementara itu, Zulaihah Karim sebagai pengarang menegaskan bahawa Sigan lahir daripada imaginasinya yang dipacu oleh pengalaman hidup di Korea selama lima tahun ketika belajar dan juga minatnya terhadap Hikayat Hang Tuah. Beliau menyatakan bahawa dunia remaja perlu terus dirangsang dengan bahan bacaan yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga menggugah daya fikir kritis. Katanya,
Naratif Sigan sarat dengan simbol dan metafora terutama tentang keris dan silat yang menjadikannya sesuai untuk bahan wacana di sekolah dan universiti.
Beralih kepada novel Che Piah Sayang karya Ilya Alias, kupasan panel membawa suasana lebih lunak dengan tema persahabatan, kasih sayang dan konflik kecil dalam kehidupan remaja. Zalina Ahmad menilai novel ini sebagai karya yang mengekalkan kekuatan naratif bersahaja, namun menyentuh perasaan pembaca muda dengan realiti kehidupan seharian.
Beliau mengangkat Che Piah Sayang sebagai naskhah yang berjaya mendekatkan pembaca remaja dengan nilai kekeluargaan dan budaya tempatan.
“Membaca dan menekuni karya Ilya Alias ini boleh dikatakan sebagai pelengkap kepada genre novel remaja yang sering dahagakan suara tulen daripada pengalaman tempatan, iaitu budaya dan cara hidup yang sempurna bangsa Melayu,” puji beliau.
Secara keseluruhannya, Dr. Husairi Hussin menutup sesi dengan menegaskan bahawa kedua-dua karya ini bukan sekadar bacaan ringan tetapi merupakan jambatan antara imaginasi dengan realiti yang membentuk jati diri remaja. Beliau mengajak khalayak untuk terus menyokong penulis tempatan yang mampu mencetuskan naratif segar dalam kesusasteraan tanah air.
Program yang berlangsung selama satu jam ini mendapat sambutan hangat daripada pengunjung terutama ahli Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI), sekali gus meneguhkan kedudukan Pesta Buku Kedah sebagai medan memperkasakan wacana kesusasteraan remaja di Malaysia.
Turut hadir memeriahkan acara, Ketua Editor Bahagian Buku Kanak-kanak dan Ramja DBP, Puan Noriyani Yusuf bersama-sama dengan editor Puan Noreena Zolkeplee dan Puan Ku Nurul Hidayah Ku Abdul Rahman serta Penolong Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara, Encik Zainal Abidin Mohd Zin.