Diterbitkan pada 29 September 2025, 14:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Forum Bicara Karya Agung bersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) 2025, yang dipengerusikan oleh Ainul (kiri), bersama-sama dengan barisan panel, iaitu Aina Tasnim Asmady, Siti Nor Adila Mohd Zain dan Haqmal Ashraff Che Basir.

Putrajaya – Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) 2025 terus memperkukuh usaha melahirkan masyarakat berbudaya ilmu apabila Forum Bicara Karya Agung bertemakan “Generasi Madani, Pencetus Diskusi Intelektual” dianjurkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 9 (2), di sini, hari ini.

Forum berprestij itu menghimpunkan sebanyak empat pelajar dari SMK Tengku Mahmud, Besut, Kelantan, bagi mengupas falsafah bangsa Melayu yang terkandung dalam Hikayat Hang Tuah serta kerelevanannya dalam membina jati diri generasi muda Madani.

Dipengerusikan oleh Ainul, forum ini menampilkan sebanyak tiga orang panel Johan Telaah Karya Agung 2025, iaitu Aina Tasnim Asmady, Siti Nor Adila Mohd Zain dan Haqmal Ashraff Che Basir, yang masing-masing mengupas nilai kesetiaan, keadilan dan cabaran identiti dalam karya agung berkenaan.

Aina Tasnim menegaskan bahawa Hikayat Hang Tuah bukan sekadar kisah pahlawan, tetapi cerminan perjuangan akal, bahasa dan maruah bangsa.

Kedua-dua tokoh legenda, iaitu Hang Tuah dan Hang Jebat, membawa nilai yang relevan untuk diteladani. Hikayat ini ialah warisan intelektual yang perlu difahami dan bukan sekadar dibaca,” katanya.

Siti Nor Adila pula menekankan kepentingan generasi muda mempertahankan maruah bangsa melalui ilmu dan integriti.

Anak muda hari ini tidak lagi berperang dengan keris, tetapi dengan pendidikan, teknologi dan pemikiran kritis. Kesetiaan mesti berpaksikan kepada kebenaran dan bukan manusia,” ujarnya.

Sementara itu, Haqmal Ashraff menegaskan cabaran globalisasi menuntut generasi muda untuk lebih berani menyaring pengaruh luar.

Kita tidak perlu memilih menjadi Tuah atau Jebat, sebaliknya perlu menggabungkan kedua-duanya, iaitu setia kepada keadilan, tetapi berani menentang kezaliman,” katanya.

Forum yang berlangsung penuh wacana itu turut membahaskan dilema moral antara kesetiaan Hang Tuah dengan keberanian Hang Jebat, dengan kesemua panel sepakat bahawa kedua-dua sifat tersebut perlu digabungkan bagi membina jati diri bangsa Madani.

DMK 2025 yang dilaksanakan dengan slogan “Malaysia Membaca” terus menjadi platform memperkukuh literasi, mengangkat karya agung sebagai khazanah ilmu, serta mendidik generasi muda agar celik sejarah dan berjiwa besar.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi