Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Sebanyak 14 peserta akhir peringkat Kebangsaan Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia (SDPAHM) dari seluruh negeri bakal berentap merebut Piala Seri Pemuisi Malaysia yang berlangsung pada 20 September 2025 di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh, Perak.
Sayembara tahunan yang diadakan bersempena dengan sambutan Hari Malaysia ini merupakan edisi kali keenam dan disertai oleh para pemenang peringkat Wilayah Persekutuan dan negeri.
SDPAHM pada kali ini akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yang Berhormat (YB) Senator Puan Saraswathy Kandasami.
Sayembara ini dianjurkan oleh Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan IPG Kampus Ipoh.
Menurut Presiden Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI), YBhg. Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim, sayembara ini diadakan bertujuan untuk memberikan pendedahan khususnya kepada para pelajar berkaitan dengan persembahan puisi artistik dan sekali gus menanam minat dan kecintaan terhadap sastera berbentuk puisi.
“Sayembara Puisi Artistik ini berbeza dengan sayembara puisi yang dianjurkan oleh pihak lain. Artistik merujuk segala unsur kreatif seni untuk memantapkan sesuatu persembahan supaya pentas menjadi lebih hidup.
“Artistik juga berunsurkan sesuatu yang dimanfaatkan dalam sesuatu persembahan untuk menjadikannya lebih berseni dan berkesan,” katanya.

Jelas beliau, Sayembara Puisi Artistik ini merupakan pembaharuan dalam deklamasi puisi tanah air dengan menggabungkan penggunaan elemen teaterikal, muzikal, prop (termasuk prop hidup), slaid, lagu, alat muzik (termasuk muzik secara langsung), gambar serta pelbagai peralatan persembahan lain bagi memperkaya pementasan.
“Cara persembahan juga dirancang meliputi kebebasan membuat persembahan dengan kreativiti tersendiri, malahan bersesuaian dengan puisi yang dideklamasikan.
“Reformasi ini dilakukan sesuai dengan arus kemajuan dunia, termasuk media sosial yang tersebar luas dan puisi diharap agar diterima dan mendapat sambutan masyarakat sejagat,” katanya.
Pada masa yang sama, Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim juga menyentuh tentang tema sayembara pada tahun ini, iaitu “Puisi Harmoni dalam Kepelbagaian”. Tema ini dipilih bagi menyemarakkan semangat patriotik dan perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia MADANI tanpa mengira bangsa dan agama, melalui sastera khususnya puisi.
“Saya yakin dengan sambutan yang begitu baik dalam program puisi yang diadakan pada kali ini akan dapat mengeratkan perpaduan yang terdiri daripada setiap lapisan masyarakat menerusi pemilihan puisi,” ujarnya.
Kesemua peserta yang bakal bertanding telah membuat cabutan undi untuk mempersembahkan sajak-sajak terpilih daripada buku teks sayembara Pohon Merdeka terbitan PEMUISI.
Nurul Izzah Andah (Perlis) dengan sajak “Keranamu Malaysia” karya Ahmad Sarju; Ameerul Zafran Saiful Amir (Kedah) dengan sajak “September, Pesan Keramat Pahlawan” karya Ami Masra dan Abdul Rasmin Sagal Abdul Rahman (Negeri Sembilan) dengan sajak “Cerita dari Sebuah Beranda” karya Lim Swee Tin.
Sementara itu, Akilul Nazar Arbain (Johor) pula mendapat tajuk sajak “Perpaduan Malaysia” karya Wanrazuhar; Nor Atiekah Hidayah Hussain (Terengganu) dengan sajaknya “Nostalgia Hari Malaysia” karya Ramlee Wahab; Siti Nurain Farahiyah Sallehuddin (Pahang) dengan sajaknya berjudul “Pohon Merdeka” karya Awang Sariyan; Elvienie Petrus (Sabah) dengan sajaknya “Panji Keramat di Tanah Berdaulat” karya Zaifulnizam Hj. Wagiran; Lans Koperal Lim Maxwell anak James (Sarawak) dengan tajuk sajaknya “Memelihara Rumah Kita” karya Sasterawan Negara Dato’ Dr. Zurinah Hassan; dan Shaharizal Othman (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur/Putrajaya) dengan sajaknya “Bicara Budaya” karya A. Aziz Deraman.
Manakala, Fithrah Adriana Suhaimi (Perak) pula dengan sajaknya “Secangkir Dakwat Merah” karya Mas Idayu Muhamadan; Muhammad Safwan Mohd Yusof (Selangor) menerima sajak “Terima Kasih Tanah Airku” karya Raihanah Mat Noor; Zahraa Qistina Mohamad Yusoff (Pulau Pinang) pula mendapat tajuk sajak “Rumah Pusaka Ibunda” karya A Rani Embi; Nasrin Afrina Afzani (Melaka) dengan sajaknya bertajuk “Kemerdekaan Ini” karya R. Hamkama; dan negeri Kelantan diwakili oleh Rosyamira Abdul Rahim, dengan sajaknya berjudul “Tanah Ini Milik Kita” karya Abdul Aziz Ali.
Edisi kali ini dimeriahkan dengan penyertaan daripada golongan muda dan pelajar universiti yang juga telah berjaya mewakili dua buah negeri. Selain merebut Piala Seri Pemuisi Malaysia yang berprestij, peserta juga ditawarkan dengan pelbagai ganjaran sampingan seperti wang tunai, piala iringan, buku khas dan sijil penyertaan.
“Ini menunjukkan usaha PEMUISI mendekati golongan anak muda amat berjaya dan pelibatan mereka dalam setiap aktiviti PEMUISI amatlah menggalakkan.
“PEMUISI akan terus memainkan peranan untuk memupuk minat golongan ini supaya mewarisi kegiatan puisi tanah air dan juga kepimpinan PEMUISI pada masa akan datang, insya-Allah,” ujar beliau lagi.
Sehubungan dengan itu, semua sasterawan, pemuisi dan para peminat puisi tanah air diundang hadir memeriahkan sayembara peringkat kebangsaan atau tonton melalui laman media sosial PEMUISI.