Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKulim–Dunia penulisan kreatif dalam kalangan remaja terus disemarakkan melalui penganjuran Bengkel Penulisan Kreatif anjuran Panitia Bahasa Melayu SMK St. Anne’s Convent bersama Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) yang berlangsung di Dewan Srikandi sekolah tersebut. Bengkel ini turut mendapat sokongan moral daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Wilayah Utara.
ASASI menampilkan tokoh penulisan kreatif dan akademik dari Universiti Sains Malaysia, Dr. Husairi Hussin, yang memberi ruang kepada para murid menelusuri teknik asas penulisan kreatif seperti membina imaginasi, memperkemas gaya penulisan serta meneroka sumber ilham.
“Penulisan kreatif tidak hanya tentang cerita yang menarik tetapi kemahiran seseorang penulis muda dalam kemampuannya mencorakkan pemikiran masyarakat melalui karya yang lahir dari sanubari,” ujarnya ketika mengulas peranan penulis muda.

Program yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 1.30 tengah hari ini dihadiri oleh murid-murid yang menunjukkan minat dan bakat dalam bidang penulisan. Seramai 60 orang pelajar bersama empat orang guru Bahasa Melayu yang menghadiri bengkel turut diberikan pendedahan tentang kaedah dan cara manuskrip yang boleh dikembangkan sehingga menjadi karya yang layak diterbitkan oleh penerbit terutamanya DBP.
Menurut pengetua sekolah, Puan Normidanar Che Omar, bengkel ini merupakan usaha berterusan pihak sekolah untuk membina jati diri murid melalui dunia sastera. “Kami mahu pelajar percaya bahawa mereka boleh menjadi penulis muda yang menyumbang kepada khazanah sastera negara,” katanya.
Penyelaras program, Puan Nur Hafiza Idris selaku Guru Panitia Bahasa Melayu sangat berbesar hati kerana dapat merealisasikan bengkel penulisan kreatif yang julung-julung kali diadakan ini. Ujarnya,“Saya berharap ASASI dan DBP akan terus menyokong usaha guru untuk mengembalikan sastera dalam kalangan murid. Sastera ialah wadah yang penting untuk membentuk nilai murni kepada pelajar.
DBP Cawangan Wilayah Utara juga menyambut baik inisiatif penganjuran bengkel ini yang dapat memperkukuhkan tapak awal penulis remaja untuk melangkah lebih jauh, seiring dengan usaha membina generasi celik bahasa dan budaya.