Diterbitkan pada 9 September 2025, 10:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Pertandingan Akhir Pengisahan Kenegaraan@Kelab Malaysiaku Peringkat Kebangsaan 2025 merupakan program sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 dengan kerjasama rakan kolaborasi strategik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menurut Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), Pertandingan Pengisahan Kenegaraan mula diperkenalkan pada tahun 2003 dan merupakan usaha berterusan pihaknya bagi memperkukuhkan semangat patriotik dan perpaduan nasional khususnya dalam kalangan generasi muda.

“Pertandingan ini mengetengahkan elemen lakonan dan penceritaan yang mengangkat mesej kenegaraan, kisah tokoh pejuang kemerdekaan, pemimpin negara serta sejarah perjuangan bangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

JAPEN berkata, pada edisi tahun ini, jumlah penyertaan secara keseluruhan adalah sebanyak 120 buah kumpulan terdiri daripada pelajar sekolah menengah yang merupakan ahli Kelab Malaysiaku seluruh negara.

Ujarnya, setelah melalui proses saringan, enam pasukan terbaik terpilih daripada 15 pasukan johan negeri untuk mara ke pertandingan akhir peringkat kebangsaan.

SMK Kunak Jaya menerusi persembahan bertajuk “Namamu Kekal Dalam Sejarah” membawa pulang wang tunai RM6,000 berserta piala pusingan, plak dan sijil kemenangan.

SMK Kunak Jaya dari Sabah dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Akhir Pengisahan Kenegaraan@Kelab Malaysiaku di Menara Komunikasi.

Naib Johan pula telah dimenangi oleh Sekolah Seni Malaysia Sarawak dan tempat ketiga SMK Batu Maung, Pulau Pinang. Manakala, SMK Idris Shah dari Perak, SMK Sultan Abdul Jalil dari Kluang, Johor dan SMK Yam Tuan Radin dari Negeri Sembilan masing-masing meraih sagu hati.

Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil turut hadir merasmikan Pertandingan Akhir Pengisahan Kenegaraan@Kelab Malaysiaku.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi