Diterbitkan pada 1 September 2025, 22:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur –  Cek Mek Molek dari London karya terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tahun 2025  menerusi Bicara Karyawan (BK) pasti mencuit pembaca dek kerana kejayaan penulis mengungkap kisah realiti kehidupan orang muda yang penuh dengan gelora emosi, cabaran, dugaan dan kepelbagaian pengalaman hidup, di pentas hidup generasi pada masa kini.

Program BK kali ini menampilkan editor dan penulis yang giat aktif dalam karya eceran penulisan kreatif, iaitu Puan Salina Ibrahim yang terlibat secara langsung dalam penyuntingan karya Cek Mek Molek dari London. Beliau turut berkongsi pengalaman bagaimana menyantuni karya tersebut demi memastikan mutu bahasa, nilai susastera serta mesej naskhah ini disampaikan dengan berkesan.

Menurut beliau lagi, karya ini merupakan hasil kolaborasi 22 penulis pelbagai latar belakang yang menyumbang karya unik yang sarat dengan nasihat, pergolakan emosi, dan agenda tersirat yang menyentuh isu-isu penting dalam kehidupan remaja pada masa kini.

“Para penulis yang didedahkan dengan program Minggu Penulis Remaja (MPR) yang diadakan baru baru ini, menjelmakan kepelbagaian perspektif melalui naratif penceritaan emosi, identiti dan gelora kehidupan anak muda padamasa kini,” jelas beliau.

Menariknya, sepanjang sesi penyeliaan beliau dalam MPR pada masa tersebut, para penulis didapati memiliki penguasaan bahasa yang baik serta mampu menyampaikan idea dengan jelas dan berkesan.

Katanya,

Mereka sentiasa berlatih untuk meningkatkan penguasaan bahasa Melayu, sekali gus  memperkukuh potensi untuk menerbitkan karya bersama penerbit lain pada masa hadapan

Sehubungan dengan itu, beliau mengambil peluang mengajak semua karyawan dan pembaca untuk mendapatkan buku tersebut di Anjung DBP, sebagai satu usaha memperluas akses kepada karya bermutu serta memperkasakan dunia penulisan tempatan dengan inspirasi dan idea yang terkandung di dalamnya.

Kredit Foto: Muhd Haziq
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi