Diterbitkan pada 22 Ogos 2025, 10:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ampang – Penganjuran Festival Inspirasi Kebahasaan Sofa 1.0 oleh Kolej Islam As Sofa dengan kerjasama strategik Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) baru-baru ini membuktikan bahawa bahasa Melayu akan terus segar, relevan dan berperanan sebagai wahana penyatuan komuniti.

Mengangkat tema “Inspirasi Melangkaui Dimensi, Melahirkan Insan Berkualiti”, festival ini bukan sahaja berjaya mengadakan pertandingan berteraskan bahasa, malah menjadi wadah memperkasakan keyakinan diri, memperkukuhkan kemahiran komunikasi, serta menyemai kecintaan generasi muda terhadap bahasa kebangsaan.

Antara acara yang menjadi nadi sepanjang festival dua hari ini termasuklah Pertandingan Deklamasi Sajak yang menyerlahkan bakat peserta cilik dengan penuh keyakinan, penghayatan mendalam dan intonasi berkesan, sekali gus menyemai kecintaan terhadap bahasa sejak di bangku sekolah.

Deklamasi sajak bukan sekadar menjadi persembahan hiburan, tetapi berperanan sebagai wahana pendidikan estetik yang membentuk emosi, memperkaya imaginasi serta menanam penghargaan mendalam terhadap warisan bangsa.

Sementara itu, Pertandingan Pidato Kenegaraan tampil sebagai gelanggang intelektual yang memperlihatkan keberanian golongan remaja mengutarakan pandangan dengan retorik teratur, hujah bernas serta kefasihan berbahasa.

Kupasan isu bahasa dan perpaduan yang dikemukakan secara kritis serta matang secara tidak langsung turut mengangkat martabat bahasa Melayu yang bukan sahaja sebagai medium komunikasi, malah sebagai wahana ilmu, kepimpinan dan wacana intelektual yang berwibawa.

Program ini jelasnya menjadi medan perhimpunan pelbagai institusi pendidikan merangkumi sekolah di bawah naungan awam mahupun swasta, sekali gus memperlihatkan keterbukaan festival ini sebagai saluran kebersamaan ilmu dan bakat.

Johan Pertandingan Deklamasi Sajak telah disandang dengan cemerlang oleh adik Irfan Zikri dari SK Danau Kota (2), manakala kejuaraan Pertandingan Pidato Kenegaraan pula diraih oleh Muhammad Aiman Farhan dari Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh. Kedua-dua peserta ini membuktikan bahawa generasi muda memiliki potensi besar sebagai pewaris bahasa dan kepimpinan bangsa.

Menurut Pengarah Program, Cik Nur Hafizah Alimunir, penganjuran festival ini menegaskan kembali kedudukan bahasa Melayu sebagai nadi tamadun bangsa. Katanya,

Melalui program ini, kita mahu komuniti institusi pendidikan di peringkat  rendah, menengah mahupun tinggi bukan sahaja menguasai bahasa Melayu dengan baik, malah berani menggunakannya dalam ruang awam dan menjadikannya sebagai wahana perpaduan bangsa.

Secara keseluruhan, Festival Inspirasi Kebahasaan Sofa 1.0 berjaya menterjemahkan visinya untuk melahirkan insan berkualiti yang bukan sahaja mahir berbahasa, malah berjiwa bangsa serta menghargai warisan. Penganjuran ini menjadi bukti bahawa bahasa Melayu akan terus subur, dinamik dan relevan. .

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi