Diterbitkan pada 21 Ogos 2025, 17:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mengadakan sesi Bicara Karyawan bersama penulis tersohor, iaitu Zulkamal Ismail atau lebih mesra dipanggil Joe K.A.S. Sesi ini memberi ruang kepada khalayak untuk menyelami proses kreatifnya dalam menghasilkan karya Senja Memeluk Matahari.

Joe K.A.S juga pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 menerusi karya drama eceran berjudul “Dongeng Presiden” yang pernah disiarkan dalam majalah Dewan Sastera. Pengiktirafan berprestij ini membuktikan keupayaan beliau menghasilkan karya bermutu tinggi sekali gus meneguhkan kedudukannya sebagai penulis muda yang berwibawa.

Beliau menjelaskan bahawa judul Senja Memeluk Matahari mempunyai kekuatan simbolik yang seiring dengan isi kandungan sajak, selain kulit buku yang direka dengan menarik sehingga mampu menjadi daya penarik utama kepada pembaca.

Menurutnya, sajak-sajak yang terkandung dalam buku ini mengambil masa yang agak lama untuk diterbitkan kerana beliau menempuh pelbagai rintangan sepanjang proses penulisan dan penyuntingannya.

Katanya,

“Cabaran terbesar ialah usaha mengumpulkan semula manuskrip yang telah berselerakan sebelum dapat dibukukan secara lengkap”.

Oleh itu, beliau mengambil keputusan menyusun sajaknya agar tidak berselerakan dengan menghimpunkannya mengikut tiga tema utama, iaitu “Dengung Kemanusiaan”, “Bisikan Addin” dan “Suara Filsafat”.

Selain itu, buku ini turut memuatkan sajak yang panjang dan ringkas. Namun begitu, bentuk yang ringkas itulah yang sering menjadi pilihannya kerana mampu menonjolkan keindahan bahasa secara padat dan berkesan. Jelasnya,

Saya memang berminat untuk menghasilkan sajak bervariasi pendek seperti sajak ‘Santapan’ kerana melalui bentuk sebegini, saya dapat meneliti dan mencari perkataan yang benar-benar memberi makna serta meninggalkan kesan mendalam kepada pembaca.

Malah, beliau juga beranggapan bahawa karya-karya yang dihasilkannya berpotensi untuk dipentaskan dan diadaptasikan ke medium lain, sama ada dalam bentuk teater mahupun karya seni persembahan yang lain.

Hal ini selaras dengan latar belakangnya dalam bidang teater yang memberi kelebihan untuk melihat puisi bukan sekadar dibaca, tetapi juga dihidupkan melalui pentas dan visual.

Sebagai contoh, sajak “Graviti Anak Jalanan” dilihat berpotensi untuk dipentaskan kerana sarat dengan elemen kemasyarakatan. Karya ini bukan sekadar menyingkap realiti kehidupan anak-anak jalanan, tetapi turut mengangkat persoalan tentang jurang sosial, darjat dan ketidakadilan yang wujud dalam masyarakat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi