Diterbitkan pada 19 Ogos 2025, 15:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan – Auditorium Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) menjadi pentas dua bintang muda, Baiq Nurhani Balqis Murtam dari SMK (P) Methodist (MGSS) Kuantan dan Mayrisha Naaila Dyana Reyza Nyambong dari SK Pelindung Kuantan dinobatkan sebagai juara mutlak Pertandingan Nyanyian Genta Suara Peringkat Negeri Pahang 2025, sempena Karnival Citra Seni anjuran JPNP.

Pertandingan ini menghimpunkan 10 finalis terbaik kategori sekolah menengah dan rendah dari seluruh negeri dan menampilkan bakat vokal yang memukau dalam saingan bersemuka selepas melalui cabaran pusingan awal yang sengit dan menyeluruh melibatkan peserta dari semua daerah.

Genta Suara merupakan satu daripada empat acara utama dalam Karnival Citra Seni 2025 yang menggabungkan muzik dan teater yang bertujuan mencungkil potensi seni persembahan, memupuk kecintaan terhadap warisan budaya serta membentuk generasi berjiwa seni.

Baiq Nurhani Balqis, pelajar Tingkatan 4 yang membawakan lagu ”Cinta” nyanyian Marsha Milan Londoh, unggul menewaskan pesaing hebat lain untuk merangkul gelaran juara kategori sekolah menengah. “Tak sangka boleh menang sebab saingan dari daerah lain memang sengit. Terima kasih kepada Cikgu Reen yang ‘paksa’ saya pilih lagu yang susah ini dan banyak membimbing saya sampai ke tahap ini. Saya akan sahut cabaran untuk peringkat kebangsaan Oktober nanti, insya-Allah,” katanya penuh semangat.

Baiq Nurhani Balqis (dua dari kiri) dan Puteri Iva Qalisha (dua dari kanan) bersama-sama Pengetua MGSS, Puan Josephine Hezrin Azhar (tengah), Jurulatih Puan Noorul Azreen (kanan) dan pengurus Puan Nur Irzawani (kiri).

Naib johan sekolah menengah dimenangi Alya Batrisyia Azrizul (SMK Jengka Pusat) dengan lagu Lelaki Teragung (Dayang Nurfaizah), manakala tempat ketiga milik Puteri Iva Qalisya binti Izwari juga dari MGSS yang mempersembahkan Gubahan Rindu Puisi Syahdu (Fauziah Latif)

Pemenang kategori sekolah menengah. Dari kiri: Puteri Iva Qalisya, Baiq Nurhani Balqis dan Alya Batrisya.

Menariknya lagi, kedua-duanya dibimbing oleh guru muzik berpengalaman dari MGSS, Puan Noorul Azreen Kamarudin, yang menjadi tulang belakang kejayaan mereka. “Saya memilih lagu yang mencabar kerana mahu melihat mereka keluar dari zon selesa. Latihan berhari-hari bukan mudah, tetapi Baiq dan Iva membuktikan disiplin serta kesungguhan mampu melahirkan persembahan yang luar biasa,” kata Noorul Azreen yang turut berbangga dengan pencapaian anak didiknya.

Bagi kategori sekolah rendah, Mayrisha Naaila Dyana memukau penonton dengan persembahan lagu klasik Laksamana Raja di Laut (Iyeth Bustami), menewaskan Putra Mohammad Adam Adrian Mohd Nor (SK Felda Mempaga 2) di tempat kedua dengan lagu Seni Berzaman (To’ki) dan Puteri Abyan Rosnizam (SK (P) Methodist Kuantan) di tempat ketiga dengan Laila Canggung.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Encik Shazelin Nor Hijaz, Penolong Pengarah Pembangunan Bakat Murid JPNP. Beliau menegaskan bahawa pemenang akan menggalas tanggungjawab besar di peringkat kebangsaan. “Juara bagi kedua-dua kategori ini akan membawa nama Pahang ke pentas Genta Suara Kebangsaan 2025 pada Oktober nanti. Saya yakin mereka mampu menyerlah dan mengharumkan nama negeri,” katanya.

Karnival Citra Seni 2025 sekali lagi membuktikan bahawa seni suara masih menjadi nadi warisan budaya dan Pahang kini bersedia melepaskan dua ”wira vokal” mudanya ke pentas kebangsaan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi