Diterbitkan pada 19 Ogos 2025, 13:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Alor Setar – Sempena sambutan Bulan Kemerdekaan 2025, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Gunong mengadakan Program Ceramah Kemerdekaan bertemakan Memupuk Semangat Kemerdekaan dalam Kalangan Generasi Muda.

Program yang berlangsung di Surau Al-Amin itu dihadiri oleh semua pelajar dan guru dengan slot ceramah disampaikan oleh penceramah jemputan, iaitu Encik Zulkifli Dollah yang merupakan karyawan dari Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI).

Dalam ceramahnya, beliau menekankan bahawa generasi muda perlu memahami pengorbanan pejuang terdahulu serta menghargai kemerdekaan yang dikecapi kini. “Semangat kemerdekaan tidak boleh hanya diukur melalui hiasan atau perarakan tetapi harus terpancar dalam sikap, tindakan dan kesediaan kita menjaga kedaulatan negara,” katanya sambil mengajak pelajar mengamalkan perpaduan, disiplin dan semangat cinta kepada negara yang tidak berbelah bahagi.

Encik Zulkifli Dollah, karyawan daripada Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) ketika menyampaikan ceramahnya.

Sementara itu, pengetua SMK Seri Gunong, Encik Harris Ganae B. Nainar, berkata penganjuran program ini merupakan usaha pihak sekolah melalui Bidang Kemanusiaan untuk memupuk semangat patriotisme yang mendalam dalam diri pelajar.

Menurutnya, penghayatan nilai-nilai kemerdekaan perlu diperkukuhkan bukan sekadar melalui sambutan perayaan tetapi melalui pendidikan penceritaan semula sejarah yang boleh membangkitkan rasa cinta terhadap negara.

Program ini turut menjadi platform bagi membudayakan sambutan kemerdekaan di sekolah dengan pengisian yang bermanfaat.

Selain itu, pelajar seharusnya bukan sahaja menjadi pendengar dan penonton tetapi turut terlibat aktif dalam pengisian program yang diadakan seperti aktiviti bacaan puisi kemerdekaan. Hal itu membolehkan para pelajar dan murid berpeluang menghayati erti kemerdekaan dengan lebih mendalam.

Oleh itu, usaha seperti ini diharapkan dapat membentuk pelajar yang berjiwa patriotik, berilmu dan berperanan aktif dalam membina negara selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi