Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Pertandingan Teater Purbawara sempena Festival Lakon dan Layar Sekolah (FLLaSh) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) 2025 peringkat negeri Pahang yang berlangsung di Dewan Sanggar Mahkota, SMK Seri Mahkota, Kuantan menyaksikan pasukan tuan rumah menepati ramalan apabila dinobatkan sebagai juara.
Pertandingan ini dianjurkan selaras dengan Pelan Pendidikan Seni Kebangsaan (PPSK) 2021-2030, yang mengangkat seni sebagai pelengkap kepada kehidupan berkualiti.
Mengangkat teras “Seni untuk Semua”, penganjuran pertandingan ini bertujuan mengembangkan bakat seni pelajar ke arah hobi yang bermanfaat, membuka peluang kerjaya masa hadapan dan memberikan pendedahan kepada masyarakat tentang peranan seni dalam memartabatkan budaya di pelbagai peringkat pendidikan.
Tiga pasukan yang berjaya mara ke peringkat akhir ialah SMK Alor Akar, SMK Seri Mahkota dan SMK (P) Methodist Kuantan. SMK Seri Mahkota tampil cemerlang dengan naskhah Mayang Sari (Di Bawah Lembayung Cinta dan Restu), sekali gus memborong tujuh anugerah, iaitu Pengarah Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Sinografi Terbaik, Set dan Prop Terbaik, Skrip Terbaik, serta Audio dan Pencahayaan Terbaik.


SMK (P) Methodist Kuantan (MGSS) pula meraih gelaran naib juara dalam penyertaan kali pertama dengan naskhah Teja – Srikandi Melaka, di samping membawa pulang anugerah Pelakon Harapan, Poster Terbaik, Teaser Terbaik serta Kostum dan Tatarias Terbaik. SMK Alor Akar yang mengangkat naskah Tuah dan Jebat menduduki tempat ketiga dan turut memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Encik Arman Mohamad Tojid, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP). Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa penganjuran ini menyahut saranan KPM untuk menerapkan elemen Love, Respect, Happiness and Humanity (LR2H) dalam pendidikan, sekali gus membentuk jati diri dan kemenjadian murid. Katanya:
Terima kasih kepada pihak tuan rumah atas pengelolaan pertandingan yang lancar dan juri yang telah menjalankan tugas dengan penuh dedikasi. Diharapkan semua peserta terus menggilap bakat untuk melangkah lebih jauh dalam dunia seni persembahan.

Ketua juri, Encik Abdullah Karim atau lebih dikenali sebagai AK. Hidayat, tokoh seni teater Pahang, dalam ulasannya berkata pemilihan naskhah dan skrip yang tepat mengikut tema purbawara adalah kunci kejayaan. “Lontaran vokal mesti seiring dengan watak dan situasi supaya mesej sampai kepada penonton. Ekspresi wajah, intonasi, dan penghayatan skrip amat penting. Latihan intensif juga diperlukan agar pelajar benar-benar menguasai pentas, memahami ruang, dan mengatur blocking dengan baik,” terangnya.
Pertandingan ini bukan sahaja menjadi pentas persaingan sihat, malah menjadi wadah memperkukuhkan minat seni pelajar di samping menyediakan laluan ke peringkat kebangsaan, seterusnya mengangkat martabat teater sekolah di Pahang. Dengan kemenangan ini, SMK Seri Mahkota akan mewakili negeri Pahang ke peringkat kebangsaan yang dijadualkan berlangsung di Perlis pada awal September nanti.