Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangShah Alam – Hadiah Sastera Selangor (HSS) bagi tahun 2022, 2023 dan 2024 akan menobatkan pemenang utama dan tiga penerima hadiah penghargaan dalam tiga kategori utama, iaitu cerpen, sajak dan esei, pada 10 September nanti, menurut kenyataan sekretariat anugerah itu hari ini.

Bagi setiap tahun, maksimum 15 karya terbitan Selangorkini disenarai pendek bagi kategori cerpen dan sajak dan dipilih daripada lebih 40 karya yang diterbitkan. Senarai pendek itu akan diumumkan mulai Sabtu pada 16 Ogos.
Karya tersebut akan dinilai bersama-sama dengan 10 karya tambahan bagi setiap kategori yang dipilih oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui majalah Dewan Sastera dan Tunas Cipta serta portal sastera Tukang Puisi. Pemilihan karya dari DBP dan Tukang Puisi dibuat sendiri oleh organisasi berkenaan.
“Pemenang akan dimaklumkan melalui e-mel, manakala senarai pemenang akan diumumkan secara rasmi dalam Malam Anugerah HSS yang dijadualkan berlangsung di Hotel Wyndham Klang pada 10 September 2025,” kata kenyataan itu.
Proses Saringan dan Penjurian
Saringan awal bagi karya terbitan Selangorkini untuk kategori cerpen dan sajak dikendalikan oleh editor Selangorkini, iaitu Fazallah Pit, dengan dibantu Ketua Juri HSS, Dr. Mohd Faizal Musa. Tiada had jumlah karya bagi seseorang penulis pada peringkat saringan dan semua penilaian dilakukan tanpa mendedahkan identiti penulis.
Bagi kategori esei, tiada proses saringan kerana jumlah penyertaan adalah rendah.


Penjurian akhir bagi setiap kategori dilakukan oleh tiga panel juri. Antara juri yang terlibat ialah Dr. Faisal Tehrani (ketua juri), Sayidah Mu’izzah Kamarul Shukri (penerbit buku) dan Fasyali Fadzly Saipul Bahri (pensyarah seni) bagi kategori cerpen; Abdul Nazir Harith Fadzilah (penerbit majalah), Zul Fikri Zamir (bekas penerbit buku) dan Muhamad Azan Safar (penerbit buku) bagi kategori esei; serta Al-Mustaqeem M Radhi (ketua editor), Al-Abror Mohd Yusuf (editor media) dan Alina Abdullah (bekas pengarah galeri seni) bagi kategori puisi.
Panel juri bersidang selama sehari untuk memuktamadkan pemenang utama dan tiga penerima hadiah penghargaan setiap tahun. Seorang penulis hanya boleh memenangi satu daripada empat tempat bagi setiap kategori pada tahun yang sama, kecuali jika karyanya diterbitkan oleh organisasi berbeza.
Nilai Hadiah Dinaikkan
Mulai edisi kali ini, nilai hadiah wang tunai turut dinaikkan. Pemenang utama akan menerima RM6,000 berbanding RM5,000 sebelum ini, manakala penerima hadiah penghargaan akan memperoleh RM1,500 setiap seorang berbanding RM1,000 sebelum ini.
Hadiah Sastera Selangor dianjurkan dengan kerjasama DBP dan Tukang Puisi, bagi mengiktiraf pencapaian penulis tanah air serta mendorong perkembangan karya sastera berkualiti di negara ini.