Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Alor Gajah – Sebanyak lebih 260 orang pelajar daripada tiga institusi pendidikan menyertai Program Pembangunan Pemimpin Pelapis Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, yang berlangsung di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah, baru-baru ini.
Program tersebut merupakan inisiatif Ketua Menteri Melaka, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, yang bertujuan untuk melahirkan generasi muda negeri yang memiliki jati diri kukuh, berilmu dan bersedia memimpin pada masa hadapan.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Yang Berhormat (YB) Datuk Rosli Abdullah, yang diwakili oleh YB Datuk Rahmad Mariman.
Turut hadir EXCO Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital, merangkap Penyelaras DUN Rembia, YB Datuk Fairul Nizam Roslan; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Tun Perak (ITP), YBrs. Prof Madya Dr. Ainuddin Iskandar Lee Abdullah dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Alor Gajah (Sektor Pengurusan Sekolah), Encik Muhammad Hamka Dollah.
Program yang dianjurkan oleh Institut Tun Perak (ITP) sebagai agensi pelaksana di bawah pengisian Wakil Rakyat untuk Rakyat (WRUR) itu menghimpunkan pelajar daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Dol Said, SMK Dato’ Haji Talib Karim dan Kolej Vokasional Datuk Seri Mohd Zin.

Menurut YB Datuk Fairul Nizam, program ini sangat bertepatan dengan sambutan bulan kemerdekaan dan bertujuan untuk menyemai semangat patriotik, kepimpinan serta kecintaan kepada negara dalam kalangan belia.
“Program ini menekankan pembentukan ciri-ciri pemimpin, nilai patriotisme dan kefahaman tentang sistem kenegaraan melalui ceramah berimpak tinggi serta aktiviti interaktif yang menyasarkan belia Melaka.
“Pelajar hari ini ialah pemimpin masa hadapan. Dengan ilmu, nilai murni dan semangat patriotisme yang tertanam, mereka mampu memimpin dengan integriti dan menyumbang kepada kemajuan negara,” katanya.
Antara pengisian utama program ini adalah dua sesi ceramah bertajuk “Kepimpinan Diri: Membimbing Pelajar Menjadi Pemimpin Masa Hadapan” oleh YB Senator Datuk Mustapha Musa, dan “Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara” oleh Encik Roslan Hashim dari Akademi Kenegaraan, Jabatan Perdana Menteri.
Pelajar turut terlibat dalam aktiviti soal jawab, perbincangan berkumpulan dan latihan komunikasi yang menguji daya kepimpinan serta pengetahuan mereka mengenai sejarah negara dan prinsip Rukun Negara.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada pengetua sekolah terlibat dan nyanyian lagu-lagu patriotik oleh peserta serta tetamu jemputan, yang mencerminkan semangat nasionalisme yang tinggi dalam kalangan generasi muda.