Diterbitkan pada 7 Ogos 2025, 15:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Peserta kategori Tahap 2 sedang beraksi.

Alor Gajah – Cerita rakyat popular “Sang Kancil dan Sang Monyet” serta “Batu Belah Batu Bertangkup” membawa tuah kepada dua murid sekolah rendah apabila masing-masing dinobatkan sebagai johan Pertandingan Bercerita Cerita Rakyat Tempatan Siri 1, Daerah Alor Gajah, yang berlangsung di Perpustakaan Cawangan Alor Gajah, Sabtu lalu.

Hana Nafeesa Muhammad Hanif menjuarai Kategori Tahap Satu selepas menewaskan 13 peserta lain menerusi penyampaian bertenaga cerita “Sang Kancil dan Sang Monyet”, manakala Dhia Raisya Zulhasmi mengungguli Kategori Tahap Dua dengan persembahan berkesan cerita “Batu Belah Batu Bertangkup”, mengatasi 14 peserta lain.

Pertandingan anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (PERPUSTAM) itu disertai sebanyak 28 murid sekolah rendah dari sekitar daerah Alor Gajah.

Naib johan Kategori Tahap Satu dimenangi oleh Muhammad Zafri Izz Asbullah menerusi cerita “Si Merak dan Si Gagak”, manakala tempat ketiga disandang Aameena Khadeeja Syarizal dengan cerita “Arnab dan Kura-kura”.

Bagi Kategori Tahap Dua, tempat kedua menjadi milik Nur Ilyana Asfa Adanan yang turut menyampaikan cerita “Batu Belah Batu Bertangkup”, manakala Hannah Syazwani Ahmad Tarmizi meraih tempat ketiga melalui cerita “Hikayat Puteri Gunung Ledang”.

Ketua Bahagian Gerakan Literasi Maklumat PERPUSTAM, Nurul Hidayah Che’ Man berkata bahawa pertandingan itu bertujuan untuk memupuk minat membaca dan mendengar cerita dalam kalangan generasi muda, di samping memperkenalkan semula cerita rakyat yang kaya dengan nilai pengajaran.

“Pertandingan ini juga membantu murid mengembangkan kemahiran komunikasi, meningkatkan keyakinan diri serta membina keberanian bercakap di hadapan khalayak melalui penyampaian yang jelas dan bersemangat,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pertandingan seumpama ini selaras dengan usaha PERPUSTAM untuk melestarikan warisan budaya, mendidik melalui nilai moral dan teladan, serta menyemai kecintaan terhadap bahasa dan sastera melalui penggunaan bahasa yang indah.

Setiap pemenang menerima hadiah wang tunai berjumlah RM250 bagi johan, RM200 (naib johan) dan RM150 (tempat ketiga) berserta sijil penyertaan. Hadiah disampaikan oleh Ketua Unit Pengurusan Kualiti dan Audit Dalam PERPUSTAM, Suhaimi Sarijan.

Menurut Nurul Hidayah, kedua-dua johan akan mewakili Daerah Alor Gajah ke Pertandingan Bercerita Cerita Rakyat Tempatan Peringkat Negeri Melaka yang dijadualkan berlangsung pada September ini bersempena dengan Pesta Buku Melaka 2025.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi