Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKajang – Hubungan antara sastera dengan media bukanlah hal yang baharu, sebaliknya telah berakar umbi dalam sejarah kewartawanan tanah air sejak zaman penjajahan. Namun kini, hubungan itu dilihat semakin pudar.
Demikian antara lontaran kritis wartawan veteran dan penulis tersohor, Ku Seman Ku Hussain, dalam Forum “Sastera dan Media: Di Mana Titik Temu?” yang berlangsung di Hentian Buku Selangor, Kompleks Hentian Kajang, Sabtu lalu.
Forum anjuran bersama penerbit dan penggiat buku tempatan itu turut menampilkan tokoh media dan penulis, Nazmi Yaakub, serta Ketua Pengarang SelangorKini, Fathi Aris Omar, dengan perbincangan yang tertumpu kepada peranan sastera dalam membentuk naratif media, serta cabaran hubungan antara dunia sastera dengan kewartawanan masa kini.
Dalam sesi tersebut, Ku Seman menyatakan kekesalannya terhadap keretakan hubungan antara dua bidang itu yang suatu ketika dahulu saling menghidupkan. Katanya, sejak era 1940-an, sastera merupakan satu komponen penting dalam kandungan akhbar yang seiring dengan berita dan rencana.
“Kalau kita tengok Utusan Melayu zaman 40-an, sastera menjadi satu konten yang seimbang dengan berita dan rencana pada zaman itu. Dan semua itu digerakkan oleh Abdul Rahim Kajai,” katanya merujuk kepada tokoh kewartawanan awal tanah air yang dianggap sebagai Bapa Kewartawanan Melayu.
Menurut Ku Seman lagi, pada zaman penjajahan, karya sastera sering dijadikan sebagai medium terselindung bagi menyampaikan mesej perjuangan kemerdekaan. Penulis seperti Pak Sako dan A. Samad Ismail, bukan sahaja menghasilkan karya sastera yang bernas tetapi juga memainkan peranan penting sebagai wartawan yang menyuntik semangat kebangsaan dan kesedaran politik.
“Wartawan pada zaman dahulu boleh menjadi sasterawan disebabkan hal itu disokong oleh ekosistem pada zaman itu. Ketika itu, menghayati, memahami atau meminati sastera bukan sahaja dalam kalangan pengkarya, tetapi kepada semua masyarakat yang tidak berkarya pun. Mereka mempunyai apresiasi yang tinggi terhadap sastera,” katanya yang pernah bertugas sebagai wartawan sezaman dengan Pak Sako.
Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa daripada 100 tokoh dalam buku Wajah: Biografi Seratus Penulis (1981), sebanyak 33 orang daripadanya merupakan wartawan yang juga sasterawan, dan tiga daripadanya menjadi Sasterawan Negara. Hal ini membuktikan bahawa kedua-dua peranan itu saling berkait dan penting dalam sejarah pembangunan pemikiran masyarakat Melayu.
Namun pada hari ini, menurutnya, susuk sasterawan-wartawan ini hampir pupus daripada dunia media arus perdana.
“Ketika saya berakhir di Utusan Melayu, tidak ada lagi hubungan sasterawan dengan wartawan. Sekarang di Berita Harian hanya tinggal Nazmi Yaakub dan Hafizah Iszahanid. Di Utusan sekarang, sudah tidak ada,” ujar Ku Seman dengan nada kecewa.
Beliau turut menzahirkan kerisauannya terhadap persepsi media kini yang semakin mengecilkan peranan sastera. Sastera kini dilihat bukan lagi sebagai alat penyampai pemikiran atau ideologi yang berkesan, tetapi sekadar hiburan sampingan atau isi tempelan.
“Media bukan sahaja perlu melaporkan kegiatan sastera, tetapi saya fikir kandungan media itu sendiri mesti bercorak sastera. Bukan sekadar adaptasi novel ke filem atau drama. Kita perlu percaya sastera boleh menjadi kandungan utama, setaraf dengan berita dan rencana,” tegas beliau.
Ku Seman Ku Hussain, yang pernah berkhidmat lebih tiga dekad di Utusan Melayu, dikenali sebagai penulis rencana dan esei budaya yang tajam dan kritis. Beliau juga merupakan seorang daripada tokoh yang lantang memperjuangkan nilai estetika dan idealisme dalam kewartawanan, terutama dalam konteks bahasa dan budaya Melayu.
Kebimbangan beliau mengenai hilangnya susuk “sasterawan-wartawan” turut dikongsi oleh banyak pihak, lebih-lebih lagi dalam era digital hari ini yang menekankan kelajuan dan sensasi berbanding mutu kandungan. Dalam hal ini, forum seperti ini menjadi medan penting untuk menilai semula peranan media dan sastera dalam membina masyarakat yang celik budaya dan intelektual.
Nazmi Yaakub, yang turut hadir sebagai panel, juga dikenali sebagai antara nama terakhir dalam media arus perdana yang masih aktif menulis puisi dan esei sastera sambil berkhidmat sebagai wartawan dan editor.
Forum ini merupakan sebahagian daripada rangkaian program bulanan di Hentian Buku Selangor, yang kini menjadi hab diskusi buku, wacana budaya serta pentas alternatif kepada pengarang dan penerbit tempatan untuk mendekati masyarakat.
Seruan Ku Seman itu harus dilihat bukan sekadar nostalgia, tetapi sebagai satu peringatan penting agar media arus perdana tidak meminggirkan sastera yang pernah menjadi “roh” kepada perjuangan bangsa dan pembangunan pemikiran. Tanpa sasterawan-wartawan, media kita mungkin hanya tinggal saluran maklumat tanpa jiwa.