Diterbitkan pada 5 Ogos 2025, 17:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Abdul Halim Abdullah, menitip nasihat  bermetaforakan “terusan”, “basikal” dan “tram” di kota Amsterdam, buat puteri kembarnya, yang memasuki usia empat tahun Julai lalu. Nur Alyssa dan Nur Aryssa, yang baru mula mengenal erti kehidupan, memanggil bapanya dengan panggilan “babah”.

Jangan mudah menilai sesuatu hanya daripada luaran, sebaliknya gunalah kedalaman akal fikiranmu untuk menilai sesuatu.

 

Duhai puteri kembar cahaya hidup babah,

Di saat babah mencoret warkah ini, babah sedang duduk di sebuah kerusi tua di tengah-tengah keriuhan bandar Amsterdam sambil memandang terusan yang indah tiada tara. Puluhan bot berlalu perlahan, seakan-akan membawa cerita bahagia yang babah rasakan turut megalir terbawa arus. Ketika sebuah bot meluncur di bawah jambatan, para pengunjung di atasnya melambai dengan penuh ceria, dan para penumpang bot membalas dengan gelak tawa gembira.

 

Anak-anakku,

Babah melihat terusan di Amsterdam yang tenang, namun teguh. Airnya mengalir dengan sabar, membelah kota tanpa henti dan sentiasa membawa manfaat untuk semua sekelilingnya. Di sebalik ketenangan air terusan, jangan disangka cetek kedalamannya. Sentiasa berwaspadalah dalam setiap keadaan. Seperti terusan yang jernih, namun penuh rahsia di dasarnya, begitulah juga kehidupan ini. Jangan mudah menilai sesuatu hanya daripada luaran, sebaliknya gunalah kedalaman akal fikiranmu untuk menilai sesuatu.

Terusan tidak selalu lurus, tetapi destinasinya pasti akan ke laut lepas. Begitu juga dengan hidup kita. Kadangkala kita perlu membuat keputusan di persimpangan, berhenti sejenak atau melalui jalan yang sempit, apa yang penting, usah sesat arah tujuan hidupmu.

Terusan walaupun dihujani kapal selalu, dindingnya tetap utuh. Begitu juga dirimu. Tetaplah berpegang teguh pada prinsip hidup, walaupun dunia di sekelilingmu tidak henti-henti berubah. Terusan menyatukan pasar dan bangunan. Maka jadilah penghubung yang merapatkan hubungan, bukannya pemisah ukhuwah. Ketika kapal menyusuri lewat jambatan, jangan dianggap sebagai penghalang. Sentiasa merendah diri dan menyesuaikan diri, dan ada kalanya perlu mengalah untuk terus mengorak langkah. Usah takut meneroka kerana perjalananmu masih jauh. Destinasimu bukannya hanya di satu tempat, dan masa hadapanmu masih menjadi rahsia Tuhan Yang Maha Esa.

Anak-anakku, jadilah seperti terusan di Amsterdam. Tenang tetapi sentiasa mengalir membawa manfaat kepada sesiapa di sekelilingmu.

Babah kemudian mengorak langkah di kota yang turut dikenali sebagai Venice of the North. Di jalan-jalannya yang sempit, basikal merupakan raja. Babah melihat anak-anak kecil belajar mengayuh, pasangan tua bergerak perlahan dengan bakul penuh bunga dan orang muda meluncur pantas dengan beg yang terikat di belakang. Basikal di sini ibarat sepasang kaki yang memberikan rentak kepada denyut nadi Amsterdam.

 

Kakak dan adik,

Seperti basikal yang memerlukan keseimbangan untuk bergerak, hidup juga memerlukan keseimbangan antara bekerja dengan berehat, antara cita-cita dengan rasa bersyukur, dan akhirnya, antara dunia dengan akhirat. Namun begitu, basikal akan rebah jika berhenti dikayuh. Begitu juga dengan hidupmu. Teruskan bergerak walaupun langkahmu kecil. Penunggang basikal pandang ke hadapan, bukan menunduk ke bawah. Maka, fokuslah pada matlamat di hadapan, bukan pada halangan. Di jalan yang lurus, kayuhlah dengan yakin dan di persimpangan, kayuhlah dengan perlahan dan berhati-hati. Gunakanlah kebijaksanaanmu untuk mengetahui bilakah perlu pantas dan bilakah perlu berhenti sejenak? Setiap penunggang pasti pernah terjatuh. Yang membezakan mereka adalah keberanian untuk bangkit semula.

Kegagalan bukan pengakhiran, sebaliknya merupakan suatu cebisan pengajaran yang terbaik dalam kehidupan.

Babah kemudian menghirup secangkir kopi panas di sebuah kafe lama sambil memerhati tram-tram klasik yang unik di kota ini. Mereka mengajar kita erti perjalanan hidup yang terarah dan penuh makna. Di setiap perhentian, babah melihat ada seorang wanita tua sedang memegang beg tangan, para pelancong yang tekun menatap peta dan anak-anak muda dengan telefon bimbit yang melekap di telinga.

 

Ingatlah anak-anakku,

Tram tidak akan sesat kerana sentiasa mengikuti relnya. Begitu juga dengan hidupmu. Sentiasalah berpegang teguh pada prinsip kebenaran dan nilai-nilai murni kerana itulah yang akan membawamu ke destinasi yang tepat. Tram tahu waktu untuk perlu berhenti di stesen dan waktu untuk meneruskan perjalanan. Belajarlah membaca waktu hidupmu. Kadangkala ada waktunya kamu perlu berehat, dan kadangkala ada waktunya kamu perlu melangkah dengan berani. Sepeti tram yang sentiasa terhubung dengan kabel di atasnya. Janganlah pernah putus hubungan dengan keluarga dan Tuhan, kerana itulah sumber utama kekuatanmu. Tram tidak selalu laju, tetapi tram pasti sampai. Jangan bandingkan perjalananmu dengan orang lain kerana yang penting adalah istiqomah dan ketekunan.

Maka anak-anakku, jadilah seperti tram di Amsterdam yang sentiasa bergerak berpaksikan rel kebenaran. Percayalah, perjalanan tanpa jemu akan membawamu ke destinasi indah yang menjadi idaman.

Akhir kata, semoga suatu hari nanti, titipan ini dapat dibaca oleh anak-anakku yang ketika ini hanya mengenal huruf A hingga Z.

***

Abdul Halim Abdullah kemudian berkelana ke kota Paris pada keesokan harinya. Ketika pandangannya yang kosong menikmati Menara Effeil, beliau cuba merungkai keistimewaan menara itu berbanding Menara Berkembar Petronas yang menurutnya jauh lebih indah.

Dari jauh, buat pertama kalinya dalam hidup, aku memandang sebuah struktur menara yang sangat megah. Menara inilah yang sering disebut-sebut oleh orang sepanjang aku membesar. Dalam buku bacaan, di kaca televisyen dan di mana-mana sahaja. Namun entah mengapa, perasaan itu kosong tatkala merenung menara itu. Terdetik dalam hati, apakah keistimewaan rangka besi ini? Sekali pandang seperti menara yang biasa dilihat di tanah air sendiri, seperti pencawang elektrik yang dibina di merata-rata Malaysia. Sehingga ke situ aku berimaginasi.

Aku melangkah perlahan-lahan mendekati menara itu. Laluan ke situ berbecak dan ada kalanya berpasir, barangkali kerana menara itu sedang direnovasi. Namun begitu, ribuan manusia dari serata dunia masih berpusu-pusu datang untuk mengaguminya. Aku mungkin silap atau aku kurang membaca sejarah barangkali. Tubuh menara yang dibina daripada besi yang mulai berkarat itu mungkin menyimpan seribu satu kisah, yang mungkin menjadi saksi bisu kepada cinta, perang dan perubahan zaman. Sesekali pengembara lain meminta aku mengambil gambar mereka dengan berlatar belakangkan menara itu.

Aku melayaninya, namun otakku masih terus menerawang memikirkan apakah keistimewaan menara itu?

Di hamparan padang dengan lautan manusia di hadapan menara itu, aku duduk sejenak. Membuka telefon pintar, lantas menaip perkataan “Effeil Tower”. Perasaan ingin tahu membuak-buak. Perkataan demi perkataan yang berkaitan dengannya aku amati, fahami dan hayati. Pelbagai sumber juga aku terokai. Dan akhirnya, aku mengerti. Menara dengan besi yang semakin berkarat itu bukan hanya sekadar sebuah menara. Menara itu sebagai lambang kemajuan peradaban dan industri pada ketika itu. Pada zaman itu, besi dianggap sebagai bahan kasar, dan tidak mungkin mampu digunakan sebagai bahan utama untuk membina seni bina agung. Namun, Gustave Eiffel mengubahnya menjadi sebuah mahakarya yang kemudiannya menjadi simbol revolusi industri dan kejayaan manusia.

Menara Eiffel yang dibina bagi tujuan Pameran Dunia 1889, merupakan sebuah simbol kejayaan manusia menakluk langit. Gustave Eiffel tidak sekadar mendirikan menara, tetapi juga mencipta manifestasi kejayaan industri. Besi yang pada mulanya dihina, kemudiannya diubah menjadi sebuah seni. Akhirnya, persoalan yang membelenggu fikiranku terlerai. Menara Eiffel dicipta bukan untuk menjadi yang tertinggi, tetapi untuk menjadi simbol yang paling berani.

Aku masih bertapa di hadapan Menara Effeil. Fikiranku dibawa menerewang pada percutian singkatku bersama-sama dengan keluarga di Kuala Lumpur sebulan sebelum aku berangkat ke kota cinta itu. Aku membawa anak kembar perempuanku melihat Menara Berkembar Petronas. Mereka yang baru berusia tiga tahun terkumat-kamit menyebut “key-ell-ci-ci” dengan lidah yang masih pelat. Jika diukur pada keindahan, Menara KLCC jauh lebih indah. Siap dibina pada tahun 1998, ketika gelombang ekonomi sedang bergolak, Menara KLCC ibarat mewakili suara Asia yang ingin bangkit. Sempat bergelar sebagai menara tertinggi di dunia, Menara KLCC bukan sekadar menara pencakar langit, tetapi ekspresi Malaysia di pentas global.

Namun, di sebalik kilauannya, adakah KLCC benar-benar melambangkan kemajuan, atau sekadar mercu tanda globalisasi? Menara itu dibina ketika Malaysia ingin diiktiraf sebagai sebuah negara moden, tetapi akar umbinya, kadangkala bergolak antara identiti tradisi dengan kemajuan.

Usah disamakan Menara Eiffel dengan Menara KLCC. Perancis sebuah negara maju, manakala  Malaysia merupakan sebuah negara yang membangun. MenaraEiffel dibangunkan ketika era perindustrian telah mula pesat berabad-abad yang lalu, namun Menara KLCC bukan sekadar lambang pemodenan Malaysia, tetapi lebih dari itu. Malaysia merupakan sebuah negara Islam, sebuah negara yang menegakkan perpaduan dan sebuah negara yang masih bekerja keras mengejar status negara maju.

Kadangkala aku terfikir,Terbina Menara Eiffel sebagai sebuah simbol keberanian negara, tetapi mengapakah kita hanya mampu berani bermimpi tinggi meskipun pernah dijajah? Menara KLCC lebih unggul daripada itu. Menara KLCC melambangkan keberanian, kemajuan dan dua menara yang disambungkan oleh jambatan, mencerminkan kesatuan dalam kepelbagaian. Reka bentuknya unik dengan unsur Islamik, yang menjadi pegangan hidup kita.

Lamunanku terhenti melihat video anak-anakku berlari di tasik Menara KLCC, dalam telefon pintarku. Ah sudah!, terbit pula rindu yang mendalam pada keluargaku di Malaysia. Akhirnya, menara-menara ini adalah pantulan jiwa bangsa. Menara Eiffel bercerita tentang “menjadi”, manakala KLCC bercerita tentang “ingin menjadi”.

Yang satu sudah selesai mengisahkan riwayatnya, yang satu lagi sedang mengukir cerita yang bukan sahaja tentang kehebatan fizikal, tetapi juga tentang jiwa bangsa yang dibangun bersamanya.

___________________________________

Abdul Halim Abdullah merupakan pensyarah Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi