Diterbitkan pada 4 Ogos 2025, 09:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Program Pembinaan Bakat Penulis Remaja dan Kanak-Kanak 2025 Peringkat Zon Utara yang berlangsung pada 28 hingga 30 Julai 2025, bertempat diPusat Kokurikulum, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.

Kangar – Program Pembinaan Bakat Penulis Remaja dan Kanak-Kanak 2025 Peringkat Zon Utara telah berlangsung dengan jayanya pada 28 hingga 30 Julai 2025 bertempat di Pusat Kokurikulum, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.

Program ini merupakan anjuran bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara.

Selama tiga hari pelaksanaan, para peserta yang terdiri daripada murid sekolah rendah dan menengah dari utara, iaitu Perak, Perlis, Pulau Pinang dan Kedah telah mengikuti siri pengisian berbentuk bengkel, latihan penulisan dan bimbingan intensif dalam pelbagai genre penulisan seperti cerpen dan puisi.

Menurut Pengarah DBP Wilayah Utara, Encik Sharrul Rizal Hashim, program ini merupakan platform asas untuk mencungkil minat dan bakat awal dalam bidang penulisan kreatif. Usaha ini juga bertujuan untuk menyemai rasa cinta terhadap bahasa dan sastera kebangsaan dalam kalangan generasi muda.

“Usaha seperti ini memberikan ruang kepada pelajar untuk berfikir secara kritis, berimaginasi dan meluahkan pandangan mereka melalui bahasa yang tersusun dan berbudaya,” katanya ketika ditemui pada hari program berlangsung.

DBP sebagai badan yang mendukung pembangunan bahasa dan sastera turut memainkan peranan penting dalam menyediakan tenaga pakar seperti Nik Mohd Iznan Tuan Yaakub (Nimoiz T.Y) dan Dr Husairi Hussin (Putraery Ussin) serta modul latihan yang relevan dengan perkembangan semasa penulisan kreatif.

Program ini juga bertepatan dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menitikberatkan pembinaan jati diri, pemikiran kritis dan penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan pelajar melalui pendekatan pendidikan yang holistik.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi