Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Putrajaya – Kemahiran dalam menghasilkan dan mendeklamasikan puisi terserlah apabila Penguasa Bomba (PgB), Mohd Nazrullah Abdul Aziz dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor mempersembahkan sajak ciptaannya berjudul “Bukan Sekadar Kerjaya” semasa Majlis Perbarisan Penghargaan Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran JBPM pada 24 Julai, lalu.
Lebih dikenali dengan nama pena Nazrul Aziz, beliau merupakan antara penyumbang aktif karya puisi dalam pelbagai majlis rasmi JBPM dan sentiasa diberikan amanah untuk menghiasi acara dengan untaian kata-kata penuh puitis, mencerminkan kesungguhan JBPM dalam memperkasakan bahasa kebangsaan.
Dalam ucapannya, Nazrul yang juga Munsyi Muda Bahasa menjelaskan bahawa sajak yang disampaikan adalah sebagai penghargaan warga JBPM terhadap jasa dan bakti Yang Setia (YS) Timbalan Pesuruhjaya Bomba (TPjB) Datu Khirudin Drahman@Husaini, bersempena dengan hari persaraan beliau selepas berkhidmat selama 36 tahun sejak 22 Mei 1989.
“Amanah menghasilkan karya ini saya terima dengan penuh tanggungjawab, sebagai tanda hormat dan penghargaan tertinggi kepada YS TPjB, Datu Khirudin melalui susunan kata-kata yang menyentuh hati,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa persembahan puisi yang berjaya bukan sekadar deklamasi semata-mata, sebaliknya perlu datang dari keikhlasan dan rasa hormat yang mendalam.
“Setiap bait kata yang dilontarkan dengan jujur akan sampai kepada hati para pendengar. Saya menyampaikan sajak ini mewakili seluruh warga JBPM, mengenang jasa besar YS TPjB, Datu Khirudin yang amat disegani,” katanya lagi.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Ketua Pengarah JBPM, Yang Amat Setia (YAS) Dato’ Sri Ts. Nor Hisham Mohamad, barisan pengurusan tertinggi JBPM, Pengarah-pengarah negeri serta pegawai kanan JBPM.
Nazrul Aziz merupakan antara individu yang konsisten menjadikan puisi sebagai medium penyampaian nilai dan semangat dalam kalangan warga bomba dan pelibatannya mencerminkan bahawa seni dan budaya masih utuh dalam institusi penyelamat negara.