Diterbitkan pada 4 Ogos 2025, 10:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Kangsar – Usaha memartabatkan semula seni syair dalam kalangan generasi muda diteruskan melalui penganjuran Program Bimbingan Penulisan Syair Peringkat Negeri Perak 2025 yang berlangsung di Sekolah Menengah Tsung Wah (SUWA), pada 17 Julai, lalu.

Program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) dengan kerjasama SUWA itu berjaya menghimpunkan pelajar dari beberapa sekolah sekitar Kuala Kangsar yang berminat untuk mendalami ilmu serta kemahiran dalam bidang penulisan syair.

Para pelajar ketika mendengar syarahan yang disampaikan oleh Puan Syahidatul Munirah dalam Program Bimbingan Penulisan Syair Peringkat Negeri Perak 2025.

Pengisian program turut menampilkan penulis, pengarah teater dan pengasas Anjung Seni Nilakandi, Puan Syahidatul Munirah, yang menyampaikan syarahan berkaitan dengan seni syair, struktur penulisan dan teknik penyampaian berkesan.

Menurut DBPWU, program ini merupakan satu daripada inisiatif untuk menyemarakkan semula minat terhadap puisi tradisional, khususnya syair yang kini semakin kurang diberikan perhatian dalam kalangan generasi muda.

“Seni syair bukan sekadar medium hiburan, tetapi berfungsi sebagai wadah penyampaian ilmu, nilai murni dan cerminan estetika dan pemikiran bangsa,” kata wakil penganjur.

Sepanjang program, peserta didedahkan dengan pelbagai aspek penulisan syair antaranya termasuklah struktur syair, pemilihan diksi, penggunaan rima dan irama, serta latihan praktikal secara langsung bersama-sama dengan tenaga pengajar berpengalaman.

Program yang berlangsung di Auditorium SUWA itu menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada pelajar dan guru pengiring, sekali gus membuktikan bahawa kesusasteraan tradisional masih mendapat tempat jika diberi ruang dan pendekatan yang sesuai.

Pelajar, guru pembimbing dan wakil DBPWU bergambar kenang-kenangan dalam Program Bimbingan Penulisan Syair Peringkat Negeri Perak 2025 yang berlangsung di Sekolah Menengah Tsung Wah (SUWA).

Dalam ucapan perasmiannya, Puan Syahidatul Munirah, menyifatkan bahawa usaha memperkenalkan semula seni syair kepada generasi muda merupakan langkah penting dalam memelihara identiti budaya bangsa. Katanya,

Sastera klasik seperti syair perlu terus diperkasakan agar tidak dilupakan oleh generasi akan datang.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi