Diterbitkan pada 1 Ogos 2025, 15:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Buku Demak yang Bertuah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berjaya meraih Anugerah Buku Fiksyen Kanak-kanak Terbaik dalam Anugerah Buku Kelantan 2025 yang berlangsung di Mydin Mall Tunjong, semalam.

Karya yang ditulis oleh Profesor Madya Dr. Nik Rafidah Nik Muhamad Affendi itu diterbitkan oleh DBP pada tahun 2021.

Majlis penyampaian anugerah telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan merangkap Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan, iaitu YB Zamakhshari Muhamad.

Anugerah Buku Kelantan 2025 merupakan penganjuran julung kali yang dilaksanakan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan melalui kerjasama DBP Wilayah Timur bagi menghargai karya penerbitan yang berkualiti dan signifikan terhadap negeri Kelantan.

Sebanyak lima kategori utama dipertandingkan, iaitu Anugerah Buku Fiksyen Kanak-kanak, Anugerah Buku Fiksyen Dewasa, Anugerah Buku Bukan Fiksyen Dewasa, Anugerah Buku Islamik Terbaik dan Anugerah Reka Bentuk Kulit Buku Terbaik.

Dalam majlis yang sama, buku Menunggu Kudup Seroja Berkembang karya Nik Zainun Nik Abu Bakar diumumkan sebagai pemenang Anugerah Buku Fiksyen Dewasa, manakala buku Ketatanegaraan Negeri Kelantan: Sejarah, Pemerintah dan Pentadbiran sehingga 2020 terbitan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan memenangi kategori Bukan Fiksyen Dewasa.

Sementara itu, buku 60 Hadith Pengurusan dan Produktiviti terbitan Penerbit Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra diumumkan sebagai pemenang Anugerah Buku Islamik Terbaik dan buku Kelantan dalam Bingkai terbitan Penerbit Universiti Malaysia Kelantan pula merangkul Anugerah Reka Bentuk Kulit Buku Terbaik.

Penganjuran Anugerah Buku Kelantan adalah untuk menghargai penerbitan berkualiti yang dihasilkan oleh anak kelahiran negeri ini, diterbitkan di Kelantan atau mengandungi maklumat berkaitan negeri Kelantan.

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi