Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Perlis – Program Pembinaan Bakat Penulis Remaja dan Kanak-kanak Peringkat Zon Utara 2025, anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), membuka ruang istimewa kepada bakat muda menzahirkan kreativiti penulisan puisi di Pusat Kokurikulum, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.
Sepanjang tiga hari program bermula 28 Julai lalu, peserta daripada sekolah menengah dan rendah di Perlis, Perak, Pulau Pinang dan Kedah dibimbing oleh penyair serta pensyarah kanan Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Nik Mohd Iznan Tuan Yaakub atau lebih dikenali sebagai Nimoiz T.Y. Beliau menekankan kepentingan “membina suara peribadi” dalam puisi bagi menggambarkan jati diri dan pengalaman unik setiap penulis.
“Puisi bukan sekadar ekspresi seni, tetapi medan penting untuk anak muda memahami nilai dan budaya yang membentuk diri mereka. Kita bukan hanya melatih mereka menulis, malah memanusiakan mereka melalui syair dan kata,” kongsi beliau.
Program ini turut menyediakan sesi pembacaan puisi, membolehkan peserta membentangkan karya hasil bimbingan dan menunjukkan kefahaman terhadap teknik puisi moden.
Selain itu, bengkel penulisan cerpen dikendalikan oleh Dr. Husairi Hussin, dari Universiti Sains Malaysia (USM), manakala sesi perkongsian pengalaman menulis disertai Sasterawan Muda Pulau Pinang, Muhammad Affif Zulhusni, sebagai panel dan Dr. Norshah Aizat Shuaib (Shahkang), selaku moderator.
Majlis perasmian disempurnakan Pengarah DBP Wilayah Utara, Encik Sharrul Rizal Hashim, yang menyeru semua peserta memanfaatkan sepenuhnya peluang menimba ilmu dan pengalaman berharga tersebut.
Penganjuran program ini memperlihatkan komitmen DBP Wilayah Utara dalam membina asas kesusasteraan di peringkat akar umbi, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan pendidikan berteraskan nilai, seni dan pemikiran kritis.