Diterbitkan pada 30 Julai 2025, 12:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Oleh: Mohd Nur Hakim Bahaman

Seremban – Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Sedia Raja, Rembau, Fattah Syakirah Nur Zulaikha Jalaluddin dinobatkan sebagai Johan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Sekolah Menengah (SDPKSM) peringkat Negeri Sembilan, semalam.

Beliau berjaya memukau juri dan penonton dengan deklamasi penuh penghayatan menerusi puisi “Rumah Ini Rumah Kita”, karya Mohd Khatim Othman.

Tempat kedua pula dimenangi oleh Siti Balqis Mohamad Nuri dari SMK Tunku Ampuan Najihah, Seremban yang mendeklamasikan puisi “Cinta Murni” karya Ahmad Sarju, manakala tempat ketiga menjadi milik Muhammad Haiqal Haniffahmie Mohd Zawawi dari SMK Jelai, Kuala Pilah dengan deklamasi puisi bertajuk “Memugar Ladang Bangsa” nukilan Ab Rani Embi.

Sayembara berprestij anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dengan sokongan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) itu berlangsung di Balai Ilmu, Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar, Seremban.

Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif “Merakyatkan Puisi” anjuran Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) bagi mengangkat martabat puisi kebangsaan di peringkat akar umbi.

Penyertaan pelajar pelbagai kaum turut mencuri perhatian apabila peserta dari SMK Chan Wa, Seremban, Chu Jun Hong menerima hadiah sagu hati selepas memikat hati juri dengan deklamasi puisi “Wajah Bonda” karya Azmi Ismail. Hadiah sagu hati kedua pula dimenangi oleh Putri Sharlina Abdullah dari SMK Methodist ACS, Seremban menerusi puisi “Bahtera Bangsa Mengemudi Peradaban” tulisan Zaidin Abadi.

Barisan pemenang SDPKSM Negeri Sembilan 2025 bergambar kenang-kenangan bersama-sama tetamu kehormat.

Barisan juri profesional yang terlibat terdiri daripada tokoh sastera negara dan akademik tersohor, iaitu Encik Zaen Kasturi (Penerima Anugerah SEA Write 2010), Puan Nor Azah Abd Aziz (Ketua Dua PEN) dan Dr. Fazilah Husin (Ketua Jabatan, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia).

Menurut kenyataan panel, peserta SDPKSM pada tahun ini menampilkan mutu deklamasi dan penghayatan puisi yang sangat mengagumkan, setanding dengan peserta dewasa.

“Sebagai penghargaan atas semangat dan usaha peserta, pihak penganjur menambah lima lagi penerima hadiah sagu hati sebagai pengiktirafan,” ujar wakil PEN.

Keputusan Penuh SDPKSM 2025:

  • Fattah Syakirah Nur Zulaikha Jalaludin – SMK Dato’ Sedia Raja, Rembau

  • Siti Balqis Mohamad Nuri – SMK Tunku Ampuan Najihah, Seremban

  • Muhammad Haiqal Haniffahmie – SMK Jelai, Kuala Pilah

  • Chu Jun Hong – SMK Chan Wa, Seremban

  • Putri Sharlina Abdullah – SMK Methodist ACS, Seremban

  • Nurhazwani Adi Kenchana – SMK Bukit Rokan, Gemencheh

  • Nur Qalisya Qyaisyara Ariffin – SMS Tuanku Aishah Rohani, Seremban

  • Aleesya Humaira Mohd Helmi Firdaus – Kolej Permata Insan, Nilai

  • Khairul Zafran Hazim Zaidi – SMS Tuanku Munawir, Seremban

  • Putri Nur Auliya Muhammad Mudzakkir – SMK Nilai Impian, Nilai

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi