Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Pusat Pengajian Asasi Seni Kreatif, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) bakal mementaskan naskhah teater eksperimental berjudul Peristiwa Gerbang Daulat Runtuh pada 8 dan 9 Ogos ini di Panggung Eksperimen ASWARA.
Pementasan ini merupakan sebahagian daripada projek akhir tahun pelajar yang dikenali sebagai ProSA Mania, yang kini sudah memasuki edisi ke-10.
Tahun ini, pelajar Asasi Seni Kreatif memilih untuk meneroka pendekatan penceritaan interteks dan konsep Rashomon Effects, iaitu sejenis teknik naratif yang mengangkat pelbagai perspektif terhadap satu peristiwa.
Mengangkat latar sebuah negeri lama, kisah bermula dengan penemuan mayat seorang pendekar bangsawan, Megat Jantara, di pinggir hutan larangan. Tiga saksi, iaitu Tok Sura Gading, Pak Lang Tebas dan Dang Sari Ratna, tampil memberikan keterangan, namun kesemuanya saling bercanggah dan mencetuskan kekeliruan dalam menentukan punca kematian. Adakah mangsa dibunuh atau membunuh diri?

“Pementasan ini bukanlah salinan langsung daripada karya asal Akira Kurosawa, iaitu Rashomon. Pelajar hanya mengambil asas cerita, iaitu naratif berbeza daripada tiga watak utama, lalu menulis semula skrip yang sesuai dengan konsep teater gerak yang ingin diketengahkan,” kata Timbalan Dekan Pusat Pengajian Asasi Seni Kreatif, Mohd Adika Zainal.
Menariknya, persembahan ini tidak berteraskan dialog yang konvensional, sebaliknya sebahagian besar naratif disampaikan menerusi pergerakan tubuh dan ekspresi wajah, iaitu pendekatan teater gerak yang mencabar keupayaan ekspresi pelakon baharu.
“Interteks adalah asas penceritaan yang sering diterokai oleh penulis muda. Melaluinya, pelajar menyulam teks terdahulu dalam karya baharu secara kreatif dan kritikal,” katanya lagi.
Tiket untuk menyaksikan pementasan ini dijual pada harga RM10 untuk pelajar dan RM20 bagi khalayak umum. Sebarang tempahan boleh dilakukan menerusi Pusat Pengajian Asasi Seni Kreatif di talian 03-2778 6091 atau melalui wakil urusan tiket, Steffu Sharon Saging di talian 010-979 3188.