Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Melaka – Sebanyak 120 orang murid sekolah rendah sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong menyertai Bengkel Dondang Sayang anjuran Institut Warisan Melaka (INSWA) yang diadakan di Balai Adat Perkampungan Hang Tuah, baru-baru ini.
Program itu dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Tourism Melaka dan Japerun DUN Duyong bersempena dengan Program Wakil Rakyat untuk Rakyat (WRUR) DUN Duyong.
Tiga sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Duyong, SK Semabok dan Sekolah Pendidikan Khas, dengan penyertaan turut melibatkan sokongan komuniti setempat.
Majlis penutup disempurnakan oleh Timbalan EXCO Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap ADUN Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.
Turut hadir, EXCO Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri Melaka, YB Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Pengerusi Persatuan Dondang Sayang Negeri Melaka, YBhg. Datuk Akramuddin Abdul Aziz; Pengurus Besar INSWA, YBrs. Drs. Mohd Nasruddin Rahman; dan wakil Jabatan Pendidikan Melaka, Puan Rogayah Mohamad.
Dalam ucapannya, YB Datuk Mohd Noor Helmy berkata bahawa, pendedahan awal terhadap seni budaya warisan seperti dondang sayang mampu membentuk jati diri murid serta menanam rasa cinta terhadap tradisi bangsa.
“Lebih mengharukan ialah penyertaan murid dari Sekolah Pendidikan Khas yang turut sama menari walaupun mempunyai kekangan fizikal. Mereka tidak boleh mendengar dan bertutur, namun mampu menyampaikan emosi melalui gerakan tari,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar kesinambungan program seperti ini diteruskan di peringkat menengah dengan cadangan penganjuran kelas hujung minggu oleh INSWA.
“Inisiatif ini bukan sahaja mencungkil bakat, tetapi berperanan sebagai jambatan penghubung antara generasi baharu dan seni warisan lama,” katanya lagi.