Diterbitkan pada 29 Julai 2025, 10:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Nuralysha Afiqah Mohd Yusof, johan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Sekolah Menengah (SDPKSM) Peringkat Negeri Pahang 2025.

Kuantan – Lontaran suara yang mantap dan penghayatan mendalam telah membawa tuah buat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Gelanggi 2, Nuralysha Afiqah Mohd Yusof apabila dinobatkan sebagai johan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Sekolah Menengah (SDPKSM) Peringkat Negeri Pahang 2025 pada 21 Julai 2025, lalu.

Pelajar tingkatan lima itu tampil memukau juri dengan deklamasi puisi bertajuk “Pelataran Jagat” karya Akmal Aizat Abdul Aziz, yang disampaikan dengan teknik persembahan yang kemas serta penuh penghayatan.

Melalui kemenangan itu, Nuralysha membawa pulang wang tunai berjumlah RM300, plak kemenangan dan sijil. Beliau juga akan mewakili negeri Pahang ke peringkat kebangsaan yang dijadualkan berlangsung di Grand Swiss-Belhotel Melaka pada 15 hingga 17 Ogos ini.

Tempat kedua disandang pula oleh Muhammad Syahmil Mohd Huzaini dari SMK Jengka Pusat, manakala tempat ketiga disandang oleh Ahmad Addam Syahmill Ahmad Husni dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuantan. Masing-masing menerima hadiah wang tunai berjumlah RM200 dan RM100, berserta plak serta sijil penyertaan.

Sayembara anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang dan Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) merupakan penganjuran sulung di peringkat negeri.

Pertandingan ini bertujuan untuk mencungkil bakat baharu dalam bidang deklamasi puisi serta menyemarakkan semangat kemerdekaan dalam kalangan pelajar sekolah menengah.

Pertandingan ini terbuka kepada pelajar tingkatan tiga hingga tingkatan lima dan dimulakan dengan peringkat saringan secara dalam talian melalui rakaman video YouTube. Sepuluh peserta terbaik dipilih ke peringkat akhir yang berlangsung secara bersemuka. Semua puisi yang dideklamasikan dipetik daripada antologi Ke Sarang Cenderawasih yang merupakan antologi rasmi Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan sejak tahun 2022.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Pahang, YBrs. Encik Yusof Kassim dan turut dihadiri Presiden DPMP, YBrs. Profesor  Emeritus Dato’ Dr. Mohd Mansor Abdullah serta Bendahari GAPENA, YBrs. Encik Usman Gumanti Ibrahim.

Majlis turut diserikan dengan persembahan khas oleh tiga penyair terkemuka tanah air, iaitu Usman Gumanti Ibrahim, HM Nordin Mat Salleh dan Siti Nur Zafran Zainal Abidin, yang juga bekas johan SDPK peringkat kebangsaan tahun 2018. Menariknya, Siti Nur Zafran turut hadir sebagai guru pembimbing kepada Nuralysha, menjadikan kemenangan itu lebih bermakna.

“Melihat Nuralysha mendeklamasikan ‘Pelataran Jagat’ dengan jiwa dan penguasaan pentas yang matang benar-benar mengingatkan saya kepada saat saya sendiri di pentas kebangsaan dahulu,” ujar Siti Nur Zafran ketika ditemui selepas majlis.

Sementara itu, ketua juri pertandingan, Encik Asmui Mustapha, menyifatkan persembahan peserta tahun ini sebagai berkualiti tinggi, namun menegaskan kepentingan kawalan gaya dan tempo ketika berdeklamasi.

“Kesemua peserta menunjukkan hafalan yang mantap, namun ada yang terlalu berlebihan dalam gaya, sehingga menjejaskan mesej puisi. Nuralysha menonjol kerana penyampaiannya seolah-olah menjadikan puisi itu sebahagian daripada dirinya,” katanya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi