Diterbitkan pada 25 Julai 2025, 09:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

 

Johan sayembara, Muhamad Lutfi (tengah) bersama-sama dengan pemenang tempat kedua, Muhammad Hafidzuddin Zaki dan tempat ketiga, Farah Dhuha Amani.

Sungai Petani – Puisi terus berperanan membentuk jiwa remaja apabila Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Sekolah-sekolah Malaysia (SDPKSM) dijadikan acara kemuncak sambutan Hari Puisi Nasional 2025 peringkat Negeri Kedah.

Sayembara tersebut berlangsung meriah di Dewan Kayangan, Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Muda, pada 19 Julai lepas.

Sayembara anjuran Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) melalui kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia, Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) itu terbuka kepada murid tingkatan tiga hingga tingkatan lima di seluruh negeri Kedah.

Sebanyak 10 orang peserta akhir telah terpilih daripada 27 penyertaan. Masing-masing peserta menampilkan bakat luar biasa dalam seni deklamasi serta penghayatan mendalam terhadap semangat kemerdekaan dan kecintaan kepada negara.

Pelajar Tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sik, Muhammad Lutfi Mohd Yusreem, dinobatkan sebagai johan pertandingan, dengan membawa pulang wang tunai RM300, sijil dan hadiah iringan. Beliau juga akan mewakili Negeri Kedah ke peringkat kebangsaan yang dijadualkan berlangsung di Melaka.

Naib johan disandang Muhammad Hafidzuddin Zaki dari Kolej Agama Sultan Abdul Halim yang menerima RM200, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Farah Dhuha Amani Mohd Rosidi dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Pendang dengan hadiah RM100. Dua hadiah sagu hati turut diberikan kepada Ilham Luqman Hakim Nor Azwan (Maahad Dini Sultan Abdul Halim) dan Zahraa Qistina Mohamad Yusoff (SMK Ibrahim).

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Muda (Sektor Perancangan), Encik Ahmadi Abdullah, diiringi oleh Penolong Pengarah DBPWU, Encik Mohd. Hadi Roslan, dan Ketua Satu ASASI, Dr. Husairi Hussin.

Dalam ucapannya, Encik Ahmadi menegaskan bahawa puisi bukan hanya bentuk seni semata-mata, malah berperanan sebagai wahana pendidikan nilai, pembentukan jati diri dan semangat patriotisme dalam kalangan remaja. Jelasnya,

Acara seperti ini bukan sahaja melahirkan pelapis sasterawan negara, tetapi juga membentuk negarawan masa hadapan yang memahami tanggungjawab mereka sebagai warganegara yang berjiwa merdeka.

Sementara itu, Muhammad Lutfi meluahkan rasa syukur atas kejayaannya dan mengakui minat mendalam dalam bidang sastera, khususnya puisi, menjadi pendorong utama untuk menyertai sayembara ini. Beliau turut berterima kasih kepada para guru yang membimbingnya sepanjang persediaan sayembara.

Penganjuran SDPKSM membuktikan bahawa puisi masih mengalir dalam jiwa generasi muda serta menjadikan mereka pewaris warisan bangsa yang berdaya saing dan berbudaya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi