Diterbitkan pada 22 Julai 2025, 10:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan – Sebanyak 80 orang peserta menyertai Bengkel Apresiasi Puisi anjuran Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) melalui kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dan Persatuan Kebajikan Anak Yatim Pahang (PEKAYA) di Kompleks Permata Camar, baru-baru ini.

Bengkel sehari itu memberikan pendedahan kepada peserta tentang teori dan teknik deklamasi puisi, antaranya termasuklah aspek pemahaman teks, penghayatan, intonasi, nada, gerak tubuh dan kaedah penyampaian berkesan.

Turut membimbing peserta ialah Johan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) Kebangsaan 2012, Azmi Ismail, dan Johan SDPK 2018, Siti Nur Zafran Zainal Abidin, yang berkongsi ilmu dan pengalaman masing-masing dalam seni deklamasi.

“Peserta perlu bertenang, kawal nafas dan gunakan gerak tubuh yang tepat agar roh puisi dapat dirasai oleh penonton,” kata Azmi dalam sesi bimbingannya.

Siti Nur Zafran pula menekankan kepentingan latihan harian dan penghayatan bait puisi bagi memastikan penyampaian lebih bermakna.

“Fahami setiap patah perkataan. Hafalan penting agar kita bebas menggayakan tubuh dan tidak bergantung kepada teks semasa persembahan,” katanya.

Pengarah program, Nordin Mat Salleh, berkata bahawa bengkel itu bertujuan untuk meningkatkan pemahaman peserta terhadap bentuk dan makna puisi serta mencungkil bakat baharu dalam bidang seni sastera.

“Ini juga persediaan kepada peserta untuk menyertai sayembara atau pertandingan deklamasi yang akan datang,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Pengarah DBP Wilayah Tengah, Musazliza Mustan Shir, yang menyokong penuh inisiatif memperkasakan bakat muda dalam bidang kesusasteraan tanah air.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi