Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTanjong Malim– Sajak terakhir peninggalan arwah Wan Nur Suhaila Wan Mohammad, pelajar Ijazah Sarjana Muda Kesusasteraan Melayu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), yang terkorban dalam nahas bas pada 9 Jun lalu, telah menyentuh hati warga kampus dan masyarakat umum.
Puisi bertajuk “Aku Tak Pernah Melihat Ayah Menangis” merupakan karya terakhir Allahyarhamah yang disumbangkan kepada Persatuan Persuratan Melayu (PPM) UPSI sebelum tragedi berlaku. Karya tersebut disiarkan secara rasmi pada 13 Jun melalui program mingguan “Coretan Pena: Satu Hari, Satu Karya”.
Dalam sajak itu, arwah mencoretkan perasaan rindu dan kekesalan terhadap ayahnya, sekali gus menjadikan puisi itu sebagai luahan terakhir yang penuh makna. Antara bait yang menyentuh hati ialah:
Kami hanya tahu menerima,
tak pernah bertanya khabarnya
ayah tak banyak bicara
kami tak banyak masa
bersamanya.
Ayah,
Maaf kami lambat menghargaimu.
Ayah pergi tanpa selamat tinggal,
Kami merindui sosok bernama ayah.
Menurut wakil PPM, sajak tersebut menjadi simbol kasih dan kekuatan emosi yang berjaya dirakam melalui karya sastera.
“Ini merupakan sumbangan terakhir Allahyarhamah kepada PPM. Marilah kita sedekahkan al-Fatihah dan doakan beliau ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya dalam satu hantaran di media sosial rasmi PPM.
Pemergian Wan Nur Suhaila bersama-sama 14 rakan yang lain dalam nahas tersebut dianggap sebagai satu kehilangan besar, bukan sahaja kepada keluarga dan rakan-rakan, tetapi juga kepada dunia kesusasteraan tanah air.
Rakan-rakan di PPM menyifatkan sajak itu sebagai warisan emosi yang memberikan inspirasi untuk terus menulis dan berkarya dengan jujur serta penuh perasaan.
Program Coretan Pena yang menjadi platform pementasan karya pelajar juga dilihat mampu mengangkat suara generasi muda melalui bahasa dan sastera. PPM turut menegaskan komitmen mereka untuk terus memperjuangkan legasi sastera pelajar melalui karya-karya yang ditinggalkan.
Nahas bas yang berlaku ketika rombongan pelajar UPSI dalam perjalanan ke program luar kampus itu mengorbankan 15 nyawa dan mengundang rasa duka yang mendalam dalam kalangan warga institusi pendidikan tersebut.