Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Lembaga Tabung Haji (TH) menganjurkan Pertandingan Bicara Berirama TaHa Bestari 2025 yang bertemakan “Satu Tabungan, Seribu Keberkatan” bagi menggalakkan kesedaran menabung serta pengurusan kewangan Islam dalam kalangan pelajar sekolah menengah.
Menurut kenyataan TH, pertandingan itu terbuka kepada pelajar berumur antara 13 hingga 17 tahun yang mempunyai akaun TH serta melakukan sekurang-kurangnya satu transaksi simpanan sepanjang tahun 2025.
“Penyertaan perlu dibuat melalui pihak sekolah dan disertakan dengan kebenaran ibu bapa. Setiap pasukan dikehendaki memuat naik rakaman video bicara berirama berdurasi antara lima hingga tujuh minit berserta tajuk dalam format HD (1080 x 1920 px), MP4 dan nisbah 16:9,” kongsinya.
TH turut menetapkan bahawa kandungan persembahan mestilah berteraskan nilai-nilai Islam, bebas daripada unsur plagiat dan tidak menyentuh sensitiviti agama, kaum, budaya, politik serta isu peribadi.
Peserta juga diberi kebebasan dari segi persembahan kreatif antaranya termasuklah penggunaan intonasi suara, gaya persembahan serta elemen seperti nyanyian, sajak, gurindam dan tarian yang patuh syariah, namun alat muzik dan suara prarakam hanya dibenarkan dengan kelulusan penganjur.
“Semua persembahan perlu dirakam secara berterusan tanpa potongan atau suntingan dan memperlihatkan keseluruhan pasukan termasuk konduktor,” menurut kenyataan itu lagi.
Bahasa Melayu diwajibkan sepanjang persembahan, manakala penggunaan Bahasa Arab hanya dibenarkan sebagai unsur tambahan. Peserta turut diwajibkan berpakaian sopan, kemas dan mematuhi syariah.
Lima pasukan terbaik akan menerima hadiah wang tunai serta sijil, dengan juara membawa pulang RM1,000, naib juara RM800, tempat ketiga RM600, keempat RM500 dan kelima RM400.
Penyertaan pertandingan akan ditutup pada 22 Ogos 2025, pukul 12 tengah hari, dan sebarang penyertaan selepas tarikh itu tidak akan diterima.
Pasukan yang layak ke peringkat akhir akan diwajibkan hadir secara fizikal pada tarikh dan lokasi yang akan dimaklumkan kelak.