Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur — Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Syarikat Engage Life telah menganjurkan Program Menelusuri Kalam, Menjernihkan Minda bersempena dengan Bulan Kesihatan Mental 2025 di Ibu Pejabat Sun Life Malaysia.
Program yang berkonsepkan terapi jiwa melalui pembacaan karya sastera itu mencatatkan penyertaan sebanyak 65 orang kakitangan syarikat berkenaan.
Menurut DBP dalam kenyataannya, program tersebut menampilkan Profesor Madya Dr. Kamariah Kamarudin dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai pembicara yang membincangkan topik “Sastera Terapi Jiwa”.
Beliau menegaskan bahawa sastera berfungsi sebagai medium muhasabah dan kedamaian jiwa melalui pembacaan karya seperti novel, cerpen dan puisi yang membawa nilai penyembuhan secara dalaman.
Program ini turut diserikan dengan persembahan lagu puisi oleh kumpulan Merah Malam serta aktiviti interaktif Permainan Roda Kata yang dikendalikan oleh Bahagian Perkamusan DBP.
DBP dalam kenyataannya berkata, program ini mencerminkan usaha berterusan mereka mendekatkan bahasa dan sastera dengan masyarakat, termasuk menerusi penglibatan sektor swasta melalui pelbagai pendekatan kreatif dan inklusif.