Diterbitkan pada 19 Julai 2025, 15:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan – Pelajar tingkatan empat, Nur Syaidatul Mohd Riduan, dinobatkan sebagai johan pertandingan Lumba Puisi Kemerdekaan 2025 anjuran Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) yang berlangsung pada 19 Julai lalu di Dewan Permata Camar.

Menerusi deklamasi sajak bertajuk “Lidah Bangsa” karya A. Aziz Deraman, Nur Syaidatul, 16 tahun, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad, berjaya mengalahkan peserta lain dan membawa pulang hadiah wang tunai RM150, piala, sijil dan hadiah iringan.

“Saya sangat terkejut dan gembira kerana ini merupakan kali pertama saya menyertai pertandingan mendeklamasikan sajak. Kemenangan ini membakar semangat saya untuk terus aktif dalam bidang puisi,” katanya ketika ditemui selepas menerima hadiah.

Hadiah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, Yang Berbahagia (YB) Dato’ Hajah Sabariah Saidan, yang hadir mewakili Menteri Besar Pahang, Yang Amat Berbahagia (YAB) Dato’ Seri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, dalam majlis penutup pada 20 Julai, lalu.

Nur Syaidatul yang juga murid di bawah jagaan Akademi Yayasan al-Sultan Abdullah Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Akademi YASA-MUIP), berkata bahawa beliau mendapat banyak manfaat daripada penyertaan bengkel deklamasi yang diadakan sebelum pertandingan.

Pengarah program, Tuan Haji Nordin Haji Mat Salleh, berkata bahawa penganjuran acara tersebut bertujuan untuk mencungkil bakat dan meningkatkan keyakinan diri dalam kalangan anak-anak asnaf, yatim dan miskin di negeri ini, di samping menyemarakkan semangat patriotik bersempena dengan sambutan bulan kemerdekaan.

“Pertandingan ini mendapat kerjasama erat daripada Persatuan Kebajikan Anak Yatim Pahang (PEKAYA) dan Rumah Anak-anak Yatim Permata Camar yang menjadi tuan rumah program dan turut menghimpunkan penyertaan pelbagai rumah anak yatim sekitar negeri,” ujar beliau.

Tambah beliau, pihaknya berharap pertandingan seumpama ini dapat melahirkan lebih ramai deklamator muda yang berpotensi besar untuk menyerlah di peringkat lebih tinggi serta memartabatkan seni puisi tanah air.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi