Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Kerajaan negeri Pahang terus komited memartabatkan seni, budaya dan warisan sebagai tunjang pembangunan sejajar dengan gagasan “Aspirasi Pahang 1st” yang menekankan kecemerlangan menyeluruh dalam pelbagai bidang antaranya termasuklah kesusasteraan dan kebudayaan.
Hasrat ini disuarakan oleh Yang Berhormat (YB) Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, Dato’ Hajah Sabariah Saidan, ketika merasmikan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) ke-39 Peringkat Negeri Pahang Tahun 2025 di Dewan Permata Camar, pada 20 Julai, lalu.
Beliau hadir mewakili Yang Amat Berhormat (YAB) Menteri Besar Pahang, Dato’ Seri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
“Kerajaan negeri tidak mahu pembangunan Pahang hanya berasaskan konkrit dan teknologi, tetapi turut menekankan nilai warisan dan jati diri sebagai teras kekuatan negeri,” ujar beliau dalam ucapannya.
Sayembara anjuran Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) itu menjadi medan untuk menyemai kecintaan terhadap tanah air melalui puisi.
Menurut YB Dato’ Hajah Sabariah, puisi berperanan sebagai wahana yang merentas kaum, bahasa dan budaya serta menjadi medium untuk menyampaikan kebenaran, menyemai kesedaran dan membakar semangat kebangsaan.
“Puisi bukan sekadar untuk dilafazkan, tetapi perlu dihayati, difahami dan ditafsirkan. Di sebalik kemeriahan sayembara ini, tersirat satu amanah besar, iaitu mengukuhkan akar budaya kita dan menyambungkan semangat merdeka melalui kata-kata yang jujur dan bermaruah,” katanya lagi.
Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan terus menyokong penganjuran program kesusasteraan seperti ini serta memperluaskan pelaksanaannya ke seluruh negeri antaranya termasuklah di sekolah, desa dan kawasan pedalaman.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Presiden DPMP, YBhg. Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mohd Mansor Abdullah dan Timbalan Pengarah DBP Wilayah Tengah, YBrs. Puan Musazliza Mustan Shir,
YB Dato’ Hajah Sabariah turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan penganjuran program ini serta menyokong usaha pemartabatan seni, budaya dan warisan di negeri Pahang.