Diterbitkan pada 19 Julai 2025, 11:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sintok – Lebih 20 naskhah buku cerita kanak-kanak hasil karya pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) dipamerkan dalam Pameran Buku Cerita Kanak-kanak yang berlangsung selama dua hari bermula 25 hingga 26 Jun di bilik kuliah BTA 3, Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA), UUM.

Pameran ini menampilkan hasil tugasan kursus SDCIK2073 Penulisan Kreatif di bawah bimbingan pensyarah Mohd Fairuz Mhd Padoli, sebagai sebahagian daripada penilaian akhir kursus tersebut.

Menariknya, setiap buku yang dipamerkan bukan sekadar hasil tugasan semata-mata, tetapi mencerminkan kemampuan pelajar mengaplikasikan teori penulisan kreatif dalam bentuk karya sebenar yang sesuai untuk bacaan kanak-kanak.

Menurut Mohd Fairuz, tugasan ini memberi peluang kepada pelajar untuk meneroka imaginasi, membina naratif yang sesuai untuk golongan cilik serta mempelajari elemen penting dalam penerbitan buku seperti ilustrasi, susun atur halaman dan pemilihan bahasa yang bersesuaian.

“Kami tekankan bukan hanya aspek penulisan, tetapi juga kefahaman terhadap pembaca sasaran, termasuk dari segi bahasa, visual dan nilai moral yang dibawa dalam cerita,” katanya.

Pelajar turut diberikan kebebasan memilih tema masing-masing, dengan cerita merangkumi pelbagai genre seperti kisah haiwan, impian masa hadapan, serta pengembaraan fantasi hingga ke angkasa. Setiap karya juga lengkap dengan ilustrasi menarik serta nombor ISBN yang diperoleh daripada Perpustakaan Negara Malaysia, menjadikannya naskhah yang boleh diterbitkan secara rasmi.

Pameran ini turut mendapat perhatian dan sokongan pensyarah daripada SCIMPA dan Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), antaranya termasuklah Profesor Madya Dr. Ahmad Hisham Zainal Abidin, Dr. Hanis Salwani Othman dan Dr. Phat Awang Deng, yang juga Penyelaras Program Sastera Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif.

Penganjuran pameran ini dilihat sebagai platform penting untuk mencungkil potensi pelajar dalam bidang penulisan kreatif serta memperkukuhkan usaha UUM melahirkan bakat baharu dalam industri kandungan dan penerbitan sastera kanak-kanak negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi