Diterbitkan pada 9 Julai 2025, 10:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Dr. Mochamad Irfan Hidayatullah (Indonesia) semasa pembentangan kertas kerja.

Membakut – Dalam suasana penuh semangat ilmu dan ketenangan spiritual, Mahrajan Persuratan dan Kesenian Islam Nusantara ke-13 melabuhkan tirainya dengan kejayaan yang mengukir sejarah tersendiri buat dunia persuratan Islam serantau.

Bertempat di Dewan Seri Wawasan, Kampung Pimping, Membakut, program yang dianjurkan oleh Nadwah Sastera Islam Serantau Sabah itu berjaya menghimpunkan ilmuwan dan pemikir Islam dari empat buah negara, iaitu Malaysia, Brunei, Indonesia dan Thailand dalam satu medan wacana yang sarat nilai dan makna.

Mengangkat tema “Persuratan Islam, Kunci Jiwa Rabbani”, Mahrajan pada kali ini menjadi pentas kepada pembentangan kertas kerja yang menyentuh aspek seni, sastera dan spiritual Islam dalam konteks masyarakat kontemporari. Sesi ilmiah dipengerusikan oleh Encik Asrar Ab Latif dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, yang membuka perbincangan dengan menekankan kepentingan menjadikan persuratan Islam sebagai wahana pembangunan jiwa dan tamadun.

Antara pembentangan yang mendapat perhatian ialah pembentangan daripada Tuan Haji Sukor Haji Usin dari Sabah menerusi kertas kerjanya, “Kunci dan Wasilah Pembinaan Jiwa Rabbani”. Dalam ucapannya, beliau menekankan peri pentingnya pendekatan spiritual dalam membentuk insan mukmin sejati dan menyeru masyarakat kembali kepada asas penghayatan agama yang tulen.

Menambah pengisian bermakna, YBhg. Datuk Haji Jalidar Abd Rahim turut tampil dengan kertas kerja bertajuk “Seni Menurut Pandangan Islam”. Beliau menegaskan bahawa seni dalam Islam bukan hanya soal keindahan visual atau estetika semata-mata, sebaliknya harus menjadi alat penyampaian kebenaran dan keinsafan.

“Jangan mudah berasa puas dengan ilmu yang ada,” pesan beliau dengan penuh makna kepada peserta.

Dari Brunei Darussalam, YM Profesor Ampuan Dr. Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah mengupas karya-karya tokoh diraja dalam kertas kerjanya, “Syair-syair Muda Omar Ali Saifuddien sebagai Cerminan Jiwa Rabbani dalam Persuratan Islam Brunei”. Beliau membongkar keindahan spiritual dalam syair tersebut dan bagaimana perkara ini masih relevan sebagai panduan moral dalam era moden.

YBrs. Dr. Mochamad Irfan Hidayatullah dari Indonesia pula membawakan isu semasa dalam Seni Kehadiran Nilai-nilai Islam dalam Kesusasteraan Indonesia Mutakhir”. Beliau membincangkan cabaran kontemporari dalam penulisan sastera Islam, di samping menyeru kepada kebangkitan semula nilai-nilai agama dalam penulisan moden.

Sementara itu, dari Thailand, Encik Abdul Razak Panaemalae menyampaikan kertas kerjanya secara dalam talian bertajuk “Sastera Rabbani Hanya Lahir di Tangan Ulama-Pujangga”. Beliau menegaskan bahawa karya persuratan Islam yang sejati hanya mampu lahir daripada individu yang menggabungkan ilmu dan iman dalam penulisan mereka.

Sepanjang berlangsungnya majlis ilmu ini, para peserta bukan sahaja disajikan dengan pengisian ilmiah, malah turut berpeluang menjalin hubungan intelektual rentas negara. Mahrajan ini memperlihatkan bagaimana seni dan persuratan Islam terus menjadi wadah pengukuhan jiwa dan minda umat, serta memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat yang bukan sahaja maju secara intelektual, tetapi juga kukuh spiritualnya.

Dengan kejayaan penganjuran Mahrajan ke-13 ini, jelas terbukti bahawa persuratan Islam masih menjadi denyut nadi yang menghubungkan akar tradisi dan cabaran pada masa kini mampu membentuk insan rabbani dalam dunia yang kian mencabar.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi