Diterbitkan pada 8 Julai 2025, 11:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Pertandingan Video Strata 2025 yang berlangsung dari 1 Julai hingga 22 Ogos ini

Putrajaya – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Perumahan Negara mengalu-alukan penyertaan orang ramai dalam Pertandingan Video Strata 2025 yang berlangsung dari 1 Julai hingga 22 Ogos ini.

Bertemakan “Pengurusan Strata: Strata Berkualiti, Kejiranan Harmoni”, pertandingan ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pengurusan strata yang cekap dan teratur bagi mewujudkan kehidupan berjiran yang harmoni.

Menurut kenyataan KPKT, inisiatif ini juga sejajar dengan aspirasi pendigitalan kerajaan serta penggunaan meluas platform media sosial sebagai medium penyampaian maklumat berkesan kepada masyarakat.

“Penghasilan video mampu menyampaikan informasi berkaitan pengurusan dan penyelenggaraan bangunan strata secara lebih menyeluruh serta menarik,” jelas kementerian itu.

Pertandingan yang terbuka kepada semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas ini menawarkan dua kategori penyertaan, iaitu video pendek atau animasi dan video TikTok. Peserta boleh menyertai secara individu atau berkumpulan, dengan durasi video antara satu hingga tiga minit, bersifat asli serta tidak menyentuh isu-isu sensitif.

Video akan dinilai berdasarkan kesesuaian tema, mesej utama, kreativiti, keaslian dan kualiti penghasilan.

Bagi kategori TikTok, peserta perlu menggunakan akaun awam, mengikuti akaun rasmi @KPKT_Malaysia dan @unitkorporatJPN, serta menyertakan tanda pagar rasmi seperti #StrataKPKT2025, #Strata2025TTContest, #StrongerTogether, #UnityInDiversity dan #DemiPertiwi.

KPKT memaklumkan bahawa pertandingan ini turut memberikan penekanan terhadap pemahaman komuniti strata mengenai tanggungjawab mereka sebagai penghuni pemajuan berstrata, sejajar dengan peruntukan Akta Pengurusan Strata 2013 [Akta 757].

Pemenang Pertandingan Video Strata 2025 bagi kategori video pendek atau animasi, bakal menerima wang tunai bernilai RM8000, pemenang tempat kedua bakal menerima wang tunai bernilai RM6000 dan pemenang tempat ketiga akan menerima wang tunai bernilai RM4000. Manakala, tujuh orang penerima sagu hati akan menerima wang tunai berjumlah RM500.

Sementara itu, bagi kategori video TikTok, pemenang tempat pertama bakal menerima wang tunai bernilai RM1000, pemenang tempat kedua bakal menerima wang tunai bernilai RM700 dan pemenang tempat ketiga pula akan menerima wang tunai bernilai RM500. Manakala, lima orang pemenang sagu hati pula akan menerima wang tunai bernilai RM250.

Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman sesawang rasmi www.kpkt.gov.my, media sosial KPKT (Facebook, Instagram dan TikTok), atau dengan menghubungi sekretariat pertandingan di talian 03-8891 4214 / 4315.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi