Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMelaka – Pasukan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Syed Zahiruddin telah dinobatkan sebagai johan Pertandingan Forum Remaja MADANI Peringkat Negeri Melaka 2025 yang berlangsung selama dua hari, iaitu pada 1 hingga 2 Julai 2025, bertempat di SMK Tinggi Perempuan Melaka.
Kemenangan ini sekali gus melayakkan pasukan tersebut mewakili negeri Melaka ke peringkat kebangsaan yang dijadualkan berlangsung pada Ogos nanti.
Pertandingan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ini telah melibatkan penyertaan pelajar tingkatan empat hingga tingkatan enam dari seluruh negeri Melaka.
Menurut penganjur, pertandingan ini dilaksanakan bagi menyokong dasar kerajaan dalam memartabatkan bahasa Melayu, khususnya melalui penggunaan bahasa Melayu baku yang seragam dari segi sebutan dalam kalangan pelajar.
Selain itu, pertandingan ini bertujuan untuk memberikan ruang dan galakan kepada pelajar untuk menggunakan bahasa Melayu yang baik dari aspek tatabahasa dan sebutan, serta melahirkan pelajar yang berkeyakinan tinggi, berketerampilan dan mampu berhujah serta mengungkapkan buah fikiran dengan berkesan.
Secara tidak langsung, pertandingan ini turut menggalakkan pelibatan pelajar dalam kegiatan akademik bersama-sama guru, sekali gus memupuk semangat kerjasama antara pelajar dengan warga pendidik.
Majlis Penutup Pertandingan Forum Remaja MADANI Peringkat Negeri Melaka 2025 telah disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan Negeri Melaka, Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, YBrs. Puan Mahfudzah Mohamed Noor.