Diterbitkan pada 3 Julai 2025, 13:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Oleh: Izzah Sofea

Program komuniti Come Out and Play yang berlangsung di Lake Cabin, Anjung Floria, Putrajaya.

Putrajaya – Menerusi pendekatan bersepadu dalam menyemai kesedaran autisme serta menyantuni komuniti autisme melalui pelbagai aktiviti interaktif dan inklusif, program komuniti Come Out and Play yang berlangsung di Lake Cabin, Anjung Floria, Putrajaya telah menarik perhatian ramai.

Program ini bukan sekadar acara riadah hujung minggu, malah menjadi nadi advokasi komuniti autisme yang digerakkan oleh barisan mahasiswa Diploma Bahasa Inggeris Komunikasi Profesional (LG120), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor, Kampus Segamat.

Direalisasikan melalui kerjasama strategik pelbagai rakan kolaborasi dan sokongan penajaan utama daripada pihak Lake Cabin, Box KL, Budak Putra dan Kumandang Zine, inisiatif penganjuran program yang berpaksikan semangat kesukarelawanan ini,  dilihat mencabar norma kebiasaan dengan meletakkan komuniti autisme di barisan hadapan sebagai penyumbang aktif dalam masyarakat.

Matlamat utama pelaksanaan Come Out and Play adalah untuk memperkukuh usaha murni Autism Cafe Project (ACP), di samping memperluaskan kefahaman masyarakat terhadap potensi individu autisme dalam bidang keusahawanan dan seni kreatif.

Sepanjang program, pengunjung berpeluang berinteraksi secara langsung dengan komuniti autisme, menyelami hasil karya mereka serta menyokong produk tempatan yang sarat dengan nilai dan identiti tersendiri.

Antara pengisian utama yang mencuri tumpuan pengunjung termasuklah aktiviti seni kanak-kanak “Kids Art Jam oleh Art and Wana”, persembahan akustik secara langsung serta pameran jualan produk yang diusahakan oleh komuniti autisme.

Program ini menampilkan enam perusahaan utama antaranya termasuklah Pandaception, Pertubuhan PDK Rumah Sayangku, AZRN Perfumes, The Alif dan ACP.

Yang turut serta dalam memeriahkan program adalah Art and Wana, Gembur Education, Le Art Surprise dan TRYKE Malaysia yang menyediakan aktiviti interaktif untuk semua peringkat umur.

Penyertaan aktif pelbagai pihak membuktikan kesediaan masyarakat dalam menerima dan menyokong inisiatif yang memberikan ruang kepada komuniti autisme untuk tampil ke hadapan. Di samping menyumbang kepada advokasi sosial, program ini turut menjadi medan latihan praktikal kepada para mahasiswa dari aspek pengurusan acara, komunikasi massa dan kerja berpasukan dalam konteks sebenar industri.

Sebagai langkah ke hadapan, inisiatif sebegini wajar diteruskan secara berterusan, sejajar dengan aspirasi institusi pendidikan tinggi untuk melahirkan graduan holistik yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik dan profesional, malah prihatin terhadap pembangunan komuniti dan tanggungjawab sosial.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi