Diterbitkan pada 4 Julai 2025, 11:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Sebahagian daripada pelajar dan guru sekolah yang menyertai Bengkel Asas Nyanyian Keroncong 2025 di Dewan Persatuan Peranakan Cina Melaka (PPCM).

Melaka – Usaha memperkasakan warisan seni tradisional tanah air terus di perkasa apabila sebanyak 80 orang pelajar sekolah menengah dari sembilan buah sekolah di seluruh Melaka menyertai Bengkel Asas Nyanyian Keroncong 2025 yang diadakan di Dewan Persatuan Peranakan Cina Melaka (PPCM), baru-baru ini.

Program ini bukan sahaja memberi pendedahan awal kepada generasi muda tentang keunikan muzik keroncong, malah turut disampaikan dalam suasana interaktif dan menghiburkan.

Bengkel anjuran Persatuan Peranakan Cina Melaka (PPCM) ini turut mendapat kerjasama erat daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Melaka dan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka (JPN Melaka), dengan pelibatan para guru serta ibu bapa.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengarah JKKN Negeri Melaka, Puan Ezlina Alias yang menekankan kepentingan memperkenalkan budaya tradisional seperti keroncong kepada pelajar agar warisan seni ini terus dipelihara dan dimartabatkan.

Sepanjang bengkel berlangsung, para peserta dibimbing oleh Puan Norliza Md Yamin, pensyarah muzik dari Institut Pendidikan Guru Kampus Perempuan Melayu Melaka yang berpengalaman luas dalam bidang muzik tradisional. Antara pengisian menarik bengkel termasuklah asal-usul keroncong, jenis irama, teknik vokal dan gaya persembahan yang mencerminkan kehalusan budaya Melayu.

Pelajar turut berpeluang mempraktikkan teknik nyanyian keroncong secara berkumpulan, menjadikan sesi tersebut lebih hidup dan menyeronokkan. Bengkel ini turut menyentuh peranan keroncong dalam membentuk identiti budaya serta mempererat hubungan komuniti dari dahulu hingga kini.

Pengarah JKKN Negeri Melaka, Puan Ezlina Alias (dua dari kiri) merasmikan Bengkel Asas Nyanyian Keroncong 2025 yang diadakan di Dewan Persatuan Peranakan Cina Melaka (PPCM).

Sebagai acara kemuncak bagi program Bengkel Asas Nyanyian Keroncong 2025, satu Pertandingan Nyanyian Keroncong telah diadakan dengan penyertaan sebanyak tujuh buah sekolah. Persembahan yang dipersembahkan dengan penuh semangat dan kreativiti daripada para pelajar itu telah memukau para juri dan penonton.

Melalui pertandingan ini, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Canossa Convent dinobatkan sebagai juara, diikuti SMK Tan Sri Abd Aziz Tapa, Jasin di tempat kedua dan SMK Tun Haji Abd Malek di tempat ketiga.

Setiap sekolah yang terlibat menerima set Ukulele dan buku lagu keroncong sebagai galakan meneruskan latihan dan pembelajaran muzik tradisional. Secara tidak langsung menjadi simbol komitmen penganjur terhadap kesinambungan ilmu yang diperoleh sepanjang bengkel.

Antara pelajar sekolah yang menerima sijil penyertaan dan Ukelele selepas Bengkel Asas Nyanyian Keroncong 2025.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi