Diterbitkan pada 2 Julai 2025, 10:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Melaka – Sebanyak 45 orang kakitangan Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (PERPUSTAM) telah menyertai program Bengkel Bercerita selama dua hari yang berlangsung di Dewan Tuah, PERPUSTAM baru-baru ini.

Program anjuran PERPUSTAM ini bertujuan untuk memperkasakan kemahiran penyampaian cerita dalam kalangan kakitangan sebagai usaha menyokong pelaksanaan program literasi, khususnya bersama-sama dengan kanak-kanak.

Bengkel tersebut dikendalikan oleh Puan Suraya Ariffin atau lebih dikenali sebagai “Kak Sue”, yang merupakan pustakawan berpengalaman dari Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak. Beliau aktif dalam dunia penceritaan sejak tahun 1996 dan pernah menerima latihan daripada beberapa pencerita antarabangsa menerusi bengkel profesional.

Menariknya, Puan Suraya pernah menjadi pencerita tetap dalam rancangan mingguan “Adikku Sayang – Bercerita Bersama-sama Kak Sue” yang bersiaran di Radio Perak FM pada setiap hari Sabtu.

Menurut Puan Suraya, bengkel ini memberikan pendedahan praktikal kepada peserta untuk mengendalikan sesi bercerita yang menyeronokkan yang memberikan impak kepada perkembangan minat membaca dalam kalangan kanak-kanak. Terangnya,

Tiada kaedah yang betul atau salah dalam bercerita, yang penting adalah keterikatan emosi antara pencerita dengan pendengar.

Antara teknik bercerita yang dikongsikan termasuklah membaca kuat (read aloud), penggunaan boneka tangan dan jari, teknik Kamishibai dari Jepun, teknik tampalan, penggunaan bahan semula jadi seperti sayur-sayuran dan buah-buahan sebagai prop, serta penggunaan kertas sebagai bahan bantu visual.

Setiap teknik bukan sahaja memperkayakan kreativiti pencerita, malah mampu merangsang imaginasi kanak-kanak serta meningkatkan kefahaman mereka terhadap jalan cerita yang disampaikan.

Puan Suraya turut menekankan bahawa aktiviti bercerita membuka ruang interaksi dua hala antara pencerita dengan kanak-kanak. Bengkel ini juga memberikan penekanan kepada manfaat jangka panjang, seperti penguasaan bahasa, pemupukan minat membaca, dan keseronokan dalam pembelajaran awal.

Turut hadir memeriahkan bengkel ialah Pengarah PERPUSTAM, Encik Mohamed Aizammuddy Mohamed Idris dan Ketua Bahagian Gerakan Literasi Maklumat dan Zon Merlimau, Puan Nurul Hidayah Che Man.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi