Diterbitkan pada 20 Jun 2025, 15:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Machang – Bagi menyokong usaha kerajaan melahirkan modal insan berkualiti, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur telah menganjurkan program Ekspresi Seni Remaja bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun ke-69 DBP. Program ini berlangsung meriah di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan, Kampus Machang, dengan kehadiran lebih 500 orang siswa dari pelbagai institusi pengajian tinggi.

Program ini menjadi platform kepada para remaja untuk menyerlahkan bakat seni dan sastera secara santai serta terbuka, selain menyampaikan mesej membina melalui puisi, lagu dan tarian yang beradab dan berinspirasi.

Rektor UiTM Cawangan Kelantan, Prof. Dr. Mohd Afandi Mat Rani, dalam ucapannya menegaskan bahawa, “Seni adalah suara jiwa, bahasa adalah nadi bangsa. Melalui seni yang beradab, kita tidak hanya menghibur, tetapi juga mendidik, menyampaikan nilai dan membina jati diri.” Beliau turut mengucapkan tahniah kepada DBP atas pencapaian 69 tahun memperjuangkan bahasa dan sastera kebangsaan.

Antara persembahan yang mencuri perhatian termasuklah deklamasi sajak, lagu puisi, puisi tari, tarian tradisional dan kontemporari, lagu Melayu asli serta persembahan dikir barat yang memaparkan keupayaan, bakat dan keluhuran seni siswa dengan penghayatan yang memukau.

Program ini dianjurkan oleh DBP Wilayah Timur dan Kelab Dikir Barat Sri Arjuna (DBSA) di bawah Unit Kebudayaan UiTM Cawangan Kelantan, dengan kerjasama strategik dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Turut hadir Pengarah DBP Wilayah Timur, Ariza Che Ismail; Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Kelantan, Meer Zhar Farouk Amir Razli, serta pegawai kebudayaan dari universiti yang terlibat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi